Netanyahu beri amaran Lubnan akan 'musnah seperti Gaza'

Israel memperluaskan konflik dengan melancarkan serangan di bandar Beirut, Lubnan.
Israel memperluaskan konflik dengan melancarkan serangan di bandar Beirut, Lubnan.
A
A
A

PERDANA Menteri Israel menyeru kepada rakyat Lubnan untuk menyingkirkan kumpulan Hizbullah bagi mengelakkan "kemusnahan dan penderitaan seperti yang disaksikan di Gaza".

Seruan Benjamin Netanyahu pada Selasa itu susulan kemaraan tentera darat Israel di selatan Lubnan dengan tambahan ribuan anggota baharu.

Netanyahu juga mendakwa Angkatan Pertahanan Israel (IDF) telah berjaya membunuh pengganti pemimpin Hizbullah, Hassan Nasrallah, iaitu Hashem Safieddine dalam satu serangan udara pada Selasa.

"Rakyat Lubnan masih berpeluang untuk menyelamatkan negara sebelum berlakunya peperangan yang akan menyaksikan kemusnahan dan penderitaan seperti yang berlaku di Gaza.

"Saya menyeru kepada rakyat Lubnan untuk menyingkirkan kumpulan Hizbullah supaya peperangan ini boleh berakhir," katanya.

Sementara itu, 12 orang dilaporkan cedera selepas pejuang Hizbullah melancarkan roket terhadap bandar Israel, Haifa pada hari ketiga serangan.

Israel melancarkan serangan udara besar-besaran di seluruh Lubnan terhadap apa yang didakwanya sebagai sasaran Hizbullah sejak 23 September, mengorbankan 1,400 orang dan lebih 1.2 juta orang kehilangan tempat tinggal.

Walaupun terdapat amaran antarabangsa bahawa rantau Asia Barat berada di ambang perang serantau berikutan serangan tanpa henti Israel ke atas Gaza dan Lubnan, Tel Aviv memperluaskan konflik dengan melancarkan pencerobohan darat ke selatan Lubnan pada 1 Oktober.

Artikel Berkaitan:

Hizbullah dan Israel saling berbalas serangan sejak permulaan perang di Gaza yang tercetus susulan serangan kumpulan Hamas pada 7 Oktober tahun lalu.

Kumpulan Houthi yang berpangkalan di Yaman pula bertindak melancarkan serangan berkala ke atas Israel sepanjang tempoh itu dan mengganggu perkapalan di Laut Merah, sebagai tanda solidariti dengan perjuangan rakyat Palestin.

Israel dengan pantas meningkatkan serangannya terhadap Hizbullah dua minggu lalu, membunuh sebahagian besar kepimpinan kumpulan itu, dengan tujuan menjadikan kawasan utaranya selamat bagi penduduk untuk kembali ke rumah mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!