Sultan Nazrin titah isu GISBH, ajaran sesat ditangani hingga pulih - MB Perak

Kerajaan Perak menyampaikan insentif kepada atlet negeri itu atas kejayaan menyumbang pingat dalam temasya Sukma dan Para Sukma di Sarawak yang lalu.
Kerajaan Perak menyampaikan insentif kepada atlet negeri itu atas kejayaan menyumbang pingat dalam temasya Sukma dan Para Sukma di Sarawak yang lalu.
A
A
A

IPOH - Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah menitahkan agar isu berkaitan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) dan ajaran sesat di negeri ini ditangani hingga akar umbi.

Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, perkara itu antara yang ditekankan Sultan Nazrin dalam pertemuan, Isnin lalu.

Menurutnya, baginda berpandangan, tindakan lanjut termasuk aspek pemulihan terhadap ahli dan pengikut perlu dilaksanakan dengan penglibatan Jabatan Mufti Negeri dan Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk).

"Semalam (Isnin) saya telah persembahkan kepada Tuanku laporan yang disediakan JAIPk. Ia bukan sahaja berkaitan GISBH tetapi juga unsur-unsur bagi ajaran sesat.

"Tuanku akan mengambil tindakan untuk memanggil Mufti dan JAIPk bagi mengambil tindakan berikutnya kerana kita di Perak mempunyai Jawatankuasa Fatwa Negeri yang akan bersidang (membincangkan perkara tersebut)," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita dalam Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Perak di Temasya Sukma Sarawak kali ke-21 di sini pada Selasa.

Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.

Artikel Berkaitan:

Saarani berkata, Sultan Nazrin memberi penekanan yang serius dalam isu berkenaan kerana ia melibatkan akidah umat Islam.

"Jadi kita perlu tanganinya sehingga akar umbi dan insya-ALLAH, kita akan buat yang terbaik kerana sebahagian besar mereka yang mengikuti ajaran sesat tersebut diluar sedar.

"Jadi tindakan untuk memulihkan akidah mereka perlu diambil," katanya.

Isnin lalu, Saarani mendapat perkenan Sultan Perak untuk menghadap dan menyembah maklum perkembangan isu GISBH di negeri ini hasil laporan terperinci termasuk operasi dan tangkapan disediakan JAIPk yang merupakan pihak bertanggungjawab mengendalikan kes tersebut.

Saarani sebelum ini memaklumkan, isu berkenaan secara dasarnya di bawah kendalian Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia (MKI) yang mana Sultan Nazrin sebagai pengerusi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!