Atlet Sukma, Para Sukma Perak dapat habuan lebih RM1 juta
KERAJAAN Perak menunaikan janji menyampaikan insentif lebih RM1 juta kepada atlet negeri itu atas kejayaan menyumbang pingat dalam temasya Sukan Malaysia (Sukma) dan Sukan Para Sukma 2024.
Insentif itu diberikan kepada atlet Sukma melibatkan RM815,800, manakala atlet Para Sukma berjumlah RM286,200.
Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani berkata, kesemua atlet negeri itu mempamerkan prestasi begitu cemerlang dan akan menjadi titik permulaan kepada lebih banyak pencapaian gemilang pada masa hadapan.
"Kejayaan sebenar tidak diukur dengan pingat dan wang ringgit sahaja, tetapi persahabatan, pengalaman dan semangat kesukanan yang dipelajari sepanjang perjalanan ini.
"Menariknya apabila kita ada potensi bakat yang akan meneruskan perjuangan ini kerana sebahagian besar daripada atlet kita masih muda dan boleh mewakili Perak dua tahun dari sekarang di temasya Sukma di Selangor nanti," katanya.
Beliau berkata demikian dalam Majlis Penyampaian Insentif Kontinjen Sukan Malaysia (Sukma) dan Para Sukma Perak di Temasya Sukma Sarawak kali ke 21 di sini pada Selasa.
Hadir sama, Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi, Belia dan Sukan Perak, Khairudin Abu Hanipah.
Dalam temasya Sukma berlangsung selama lapan hari bermula 17 Ogos hingga 24 Ogos lalu, kontinjen Perak yang diwakili 616 atlet bertanding dalam 37 sukan mengumpul 35 pingat emas, 38 perak dan 56 gangsa.
Manakala Para Sukma berlangsung selama 7 hari dari 22 hingga 28 September dengan penyertaan seramai 93 atlet dalam 10 sukan disiplin dipertandingkan, membawa pulang 25 pingat emas, 22 perak dan 20 gangsa, sekali gus menempatkan Perak dalam kedudukan lima terbaik.
Saarani berkata, keputusan itu merupakan pencapaian terbaik dalam tempoh 14 tahun temasya Sukma di luar Negeri Perak.
Katanya, pencapaian itu lebih manis dengan kejayaan beberapa pasukan menamatkan kemarau kilauan pingat emas antaranya skuad hoki lelaki dan tenpin boling serta atlet angkat berat, Qistina Qharisya Suffia Mohd Muzani yang mencipta sejarah sukan angkat berat wanita dengan memecahkan tiga rekod kebangsaan.
"Pencapaian ini bukan sahaja membanggakan negeri Perak, tetapi membuktikan bahawa atlet wanita kita mempunyai potensi besar untuk terus mengukir nama di persada sukan negara dan antarabangsa," katanya.
Dalam majlis itu, skuad silambam yang menyumbang pingat tertinggi Sukma dengan 6 emas, 2 perak dan 2 gangsa menerima insentif keseluruhan RM58,500 diikuti olahraga (RM54,000) dan hoki lelaki (RM50,500).
Skuad catur Para Sukma negeri pula menerima insentif tertinggi iaitu RM74,500 menerusi pungutan 8 emas, 5 perak dan dua gangsa diikuti olahraga (RM58,000) dan memanah (RM50,000).
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!