Cole Palmer pemain terbaik England
BINTANG Chelsea, Cole Palmer dinamakan sebagai Pemain Terbaik Tahunan England bagi musim 2023/24.
Pemilihan Palmer dibuat selepas mendapat undian tertinggi daripada penyokong The Three Lions, sekali gus mengetepikan pemain tengah Real Madrid, Jude Bellingham di tempat kedua dan ayam tambatan Arsenal, Bukayo Saka (pemenang dua edisi terakhir) di tangga ketiga.
Pemain tengah berusia 22 tahun itu hanya membuat penampilan sulungnya untuk skuad England pada November tahun lalu - dalam kemenangan 2-0 menentang Malta di Wembley.
Dia telah mewakili England sebanyak sembilan kali, memulakan perlawanan dua kali termasuk lima penampilan di Euro 2024 yang menyaksikan dia meledak gol dalam perlawanan akhir menentang Sepanyol ketika pasukan Gareth Southgate tewas 2-1.
Ini adalah pengiktirafan kedua buat Palmer selepas dia dinamakan Pemain Muda Terbaik PFA bagi musim 2023/24 pada Ogos lalu, selepas musim debut yang cemerlang di Chelsea.
Palmer yang menyertai The Blues dari Manchester City musim panas lalu, menjaringkan 25 gol dalam semua pertandingan.
Dia telah menjaringkan dua gol untuk England dan dijangka terlibat dalam perlawanan Liga Negara-Negara menentang Greece pada awal pagi Jumaat dan Finland pada awal pagi Isnin.
Pemain Wanita Terbaik England 2023/24 dijangka akan diumumkan pada akhir bulan ini.
Sebagai rekod, Palmer adalah pemain Chelsea pertama yang menerima pengiktirafan ini sejak Ashley Cole pada tahun 2010.
Frank Lampard juga pernah memenangi Pemain Terbaik Tahunan England ketika bersama The Blues, manakala Harry Kane, Wayne Rooney dan David Beckham juga merupakan pemenang terdahulu.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!