Banjir: Ibu muda terpaksa berpantang di PPS
PONTIAN - Seorang ibu muda dalam pantang 14 hari antara mangsa banjir yang kini ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Anom, Sanglang.
Siti Zulaiha Abdullah, 18 mengakui sedih dengan kejadian banjir yang melanda rumahnya tambahan pula, dia baharu sahaja melahirkan anak sulung, Muhammad Ayden Aiys.
Dia bersama tujuh ahli keluarganya yang lain terpaksa berpindah apabila rumah mereka di Kampung Batu Hampar, Sanglang, dekat sini dinaiki air pada Sabtu malam.
"Saya dan suami, Muhammad Hakimi Abdullah, 20, serta enam ahli keluarga lain berpindah pada jam 8 malam setelah diarahkan oleh penghulu dan ketua kampung kerana paras air semakin naik
"Tidak banyak barangan dapat dibawa ke pusat pemindahan, hanya keperluan bayi seperti lampin, baju selain pakaian saya dan suami," katanya ketika ditemui.
Siti Zulaiha berkata, pengalaman berpantang di PPS merupakan kenangan yang tidak akan dilupakan.
“Sedih memang sedih tetapi apakan daya demi keselamatan bayi kami berpindah kerana bimbang banjir akan bertambah teruk dalam keadaan cuaca tidak menentu ketika ini.
"Alhamdulillah tiga hari di sini PPS semua lengkap. Banyak yang membantu selain pemeriksaan kesihatan yang kerap oleh petugas kesihatan," katanya.
Sebelum itu, Siti Zulaiha menerima kunjungan Ahli Parlimen Pontian, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Exco Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri, Khairin-Nisa Ismail.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!