2 lelaki ditahan disyaki menyamar polis, peras ugut warga asing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KOTA TINGGI - Polis menahan dua lelaki yang disyaki menyamar sebagai anggota polis bagi memeras ugut warga asing di Bandar Tenggara.

Ketua Polis Daerah Kota Tinggi, Superintenden Yusof Othman berkata, laporan polis berhubung kejadian itu dibuat mangsa yang berusia 38 tahun pada jam 11.55 malam Isnin.

“Bertindak atas maklumat, sepasukan anggota dari Balai Polis Bandar Tenggara membuat tangkapan terhadap dua lelaki tempatan di Bandar Tenggara pada malam Selasa.

“Kedua-duanya suspek yang berusia 20 tahun itu dipercayai terlibat dalam kes terbabit dengan nilai kerugian wang tunai sebanyak RM1,300,” katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, polis turut merampas sebuah motosikal jenis Honda Wave 125 yang digunakan oleh kedua-dua suspek dalam melakukan aktiviti jenayah itu.

Berdasarkan soal siasat awal, kedua-dua suspek terlibat dengan kejadian samun pada 22 September lalu di Jalan Pahlawan, Bandar Tenggara yang menyasarkan warga asing.

“Ujian saringan air kencing mendapati kedua-dua suspek negatif daripada sebarang penyalahgunaan dadah.

"Kedua-dua suspek ditahan reman bermula Selasa sehingga 11 Oktober ini dan kes disiasat mengikut Seksyen 384 Kanun Keseksaan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!