Koronavirus: Festival Chingay hanya berarak, tiada acara pentas
JOHOR BAHRU - Festival Perarakan Chingay yang berlangsung pada 12 hingga 15 Februari ini di pusat Bandaraya Johor Bahru hanya melibatkan acara perarakan dan tiada acara pentas dipersembahkan.
Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Shahurunain Jais berkata, penularan wabak koronavirus menyebabkan acara berskala besar seperti Chingay dinasihatkan agar dikecilkan jumlah pelawat mahupun peserta.
"Jadual masih sama, cuma tiada acara pentas bagi persembahan seperti mana kelaziman sebelum ini," katanya ketika diminta mengulas mengenai perarakan Chingay di Ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di sini hari ini.
Menurut Shahurinain, seramai 1, 031 anggota polis terlibat mengawal lalu lintas dan menjaga keselamatan sepanjang Festival Perarakan Chingay berlangsung.
"Tahun lepas dianggarkan seramai 300,000 orang menyertai Chingay tetapi tahun ini mungkin jumlah peserta berkurangan berikutan kebimbangan koronavirus.
"Oleh itu penugasan anggota polis akan dikecilkan sewaktu Chingay. Seramai 600 anggota polis akan ditugaskan pada kemuncak Chingay 14 Februari," katanya.
Mengenai langkah pencegahan wabak koronavirus, Shahurinain berkata, anggota polis yang ditugaskan sewaktu Chingay akan menjalani pemeriksaan suhu badan dan dibekalkan dengan penutup mulut dan hidung.
"Difahamkan petugas Kementerian Kesihatan (KKM) dan jawatankuasa sambutan Chingay akan menjalankan saringan kesihatan dan pemeriksaan suhu badan ke atas peserta dan pelawat ketika Chingay berlangsung.
"Justeru itu saya meminta semua pihak mematuhi arahan ditetapkan bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini kerana melibatkan acara berbentuk perhimpunan," katanya.
Perarakan Chingay sepanjang kira- kira 7.8 kilometer bermula dari Tokong Xing Gong di Jalan Ulu Air Molek merupakan acara kebudayaan masyarakat Tionghua di Johor sejak 1870.
Festival Perarakan Chingay mendapat perhatian Sultan Johor, Sultan Ibrahim Sultan Iskandar dan kerabatnya apabila baginda turut hadir dalam acara festival itu sejak beberapa tahun lalu sebagai simbolik perpaduan di negeri ini.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!