Syarikat kitar semula kilang pertama didakwa selepas pindaan Akta Keselamatan Pekerja
SEPANG – Seorang pengurus kilang mewakili sebuah syarikat kitar semula dekat sini didenda RM100,000 selepas mengaku salah atas kegagalan menyediakan sistem kerja selamat hingga menyebabkan kematian pekerjanya baru-baru ini.
Hakim Mahkamah Sesyen Sepang, Tuan Amir Affendy Hamzah menjatuhkan hukuman itu pada Selasa selepas tertuduh mengaku bersalah atas kecuaian itu.
Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Selangor (JKKP) dalam kenyataan memaklumkan, siasatan yang dijalankan jabatan itu mendapati kilang terbabit melanggar peruntukan di bawah Seksyen 15(1) Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022.
“Kilang kitar semula ini merupakan tempat kerja pertama yang didakwa selepas berkuat kuasanya Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (Pindaan) 2022 pada 1 Jun 2024,” kata kenyataan itu,
Tambahnya, di bawah pindaan terbaru akta ini, syarikat yang bersalah boleh dikenakan denda sehingga RM500,000 atau penjara selama dua tahun.
“Pihak Jabatan ingin mengingatkan semua industri agar mematuhi peraturan yang telah digariskan di bawah Akta ini.
“JKKP tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana individu atau syarikat yang melanggar undang-undang keselamatan dan kesihatan pekerjaan," katanya.
Kenyatan itu menegaskan, JKKP akan melaksanakan penguatkuasaan yang lebih ketat akan diteruskan bagi memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan pekerja terus dilindungi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!