Gadis lembam dilaporkan hilang selepas buang sampah depan rumah

Nurul Aliya dilaporkan hilang sejak Ahad selepas keluar membuang sampah di depan rumah.
Nurul Aliya dilaporkan hilang sejak Ahad selepas keluar membuang sampah di depan rumah.
A
A
A

TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Polis meminta kerjasama orang ramai bagi mengesan seorang gadis orang kurang upaya (OKU) lembam berusia 20 tahun di Taman Temerloh Jaya di sini yang dilaporkan hilang sejak Ahad.

Ketua Polis Daerah Temerloh, Asisten Komisioner Mazlan Hassan berkata, kehilangan gadis itu, Nurul Aliya Zulkifli dilaporkan oleh bapanya yang berusia 52 tahun pada Isnin.

Menurutnya, bapa gadis tersebut memberitahu, Nurul Aliya keluar untuk membuang sampah di lokasi yang terletak dalam jarak lima meter di depan rumah.

"Pengadu kemudian mendapati anaknya tiada di hadapan rumah dan telah membuat carian di sekitar kawasan namun tidak menemuinya.

"Kali terakhir gadis itu dilihat memakai baju berwarna putih berbelang biru, berseluar hitam dan selipar," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Ujarnya, berdasarkan maklumat, gadis berkenaan memiliki ketinggian 160 sentimeter, berat 45 kilogram dan warna kulit kuning langsat.

Jelas beliau, tiada kamera litar tertutup (CCTV) di lokasi kejadian dan pihak polis telah menjalankan pencarian sehingga kini namun masih belum ditemui.

"Seorang lelaki telah diambil keterangan namun tidak dapat membantu siasatan," tambahnya.

Artikel Berkaitan:

Mazlan berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat tentang gadis berkenaan diminta tampil ke mana-mana balai polis berhampiran atau menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Temerloh di 09- 2716222.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!