Skandal Airbus: Kerajaan tidak campur tangan siasatan SPRM

Laporan media Britain mendakwa Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh dan pembuat keputusan di AirAsia dan AirAsiaX. Gambar kanan: Anthony Loke. - Foto Bernama
Laporan media Britain mendakwa Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh dan pembuat keputusan di AirAsia dan AirAsiaX. Gambar kanan: Anthony Loke. - Foto Bernama
A
A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bebas untuk melakukan siasatan sewajarnya terhadap kepentingan Airbus di Malaysia susulan dakwaan rasuah membabitkan pengeluar pesawat itu dan dua eksekutif AirAsia.

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, sebagai satu agensi bebas, SPRM juga bebas untuk menjalankan sebarang siasatan yang disifatkannya sebagai wajar.

"Saya rasa ini adalah tugas SPRM. Ini bukannya bidang kuasa kita (Kementerian Pengangkutan). Oleh itu terpulanglah kepada SPRM untuk mengambil tindakan sewajarnya. Kerajaan tidak boleh campur tangan," katanya kepada pemberita selepas majlis sambutan Tahun Baru Cina dan perhimpunan bulanan kementerian itu di sini hari ini.

Beliau berkata demikian selepas diminta mengulas sama ada kerajaan akan bertindak meneliti semua transaksi Airbus di Malaysia susulan dakwaan rasuah tersebut.

Laporan media Britain mendakwa Airbus membayar RM204 juta dan menawarkan RM225 juta lagi untuk menaja sebuah pasukan sukan yang mempunyai kaitan dengan dua individu berpengaruh dan pembuat keputusan di AirAsia dan AirAsiaX.

Sebelum ini, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Latheefa Koya dilaporkan berkata, agensi itu sudah menjalankan siasatan dan menghubungi pihak berkuasa di United Kingdom berhubung perkara itu.

Pelaburan Airbus di Malaysia adalah menerusi Sepang Aircraft Engineering Sdn Bhd iaitu anak syarikat penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulihnya selain kemudahan Perkhidmatan Pelanggan Airbus Malaysia yang mana kedua-duanya adalah milik penuh syarikat itu.

Mengulas perkara lain, Anthony yang juga Setiausaha Organisasi Kebangsaan DAP turut menyanggah laporan mengenai kerjasama antara Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad dan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Artikel Berkaitan:

"Tak perlulah masa disia-siakan dengan (cerita) khabar-khabar angin sebegini. Kita sedang berdepan krisis (penularan koronavirus). Malah saya rasa seluruh dunia berdepan krisis itu. Kita perlu berusaha ke arah kemajuan negara, saling bekerjasama menangani koronavirus dan menyumbang kepada ekonomi negara," katanya. - Bernama

ARTIKEL BERKAITAN Skandal Airbus: Kamarudin dan Fernandes tidak pernah dihubungi SFO

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!