Sorok syabu RM8.18 juta dalam tong, 3 individu ditahan
KUALA LUMPUR - Taktik tiga individu termasuk seorang wanita warga Thailand menyembunyikan bungkusan dadah jenis syabu di dalam tong bahan pembuatan kek untuk mengaburi mata pihak polis, tidak berhasil apabila mereka diberkas di sebuah rumah di ibu kota pada Isnin.
Pengarah Jabatan Siasatan Narkotik Bukit Aman, Datuk Seri Khaw Kok Chin berkata, kesemua individu berusia 22 hingga 24 tahun itu ditahan pada jam 10.30 malam.
"Hasil pemeriksaan di ruang tamu rumah berkenaan, kita menemui 250 bungkusan dadah syabu seberat 255,574 gram di dalam 125 buah tong produk pembuatan kek dengan nilai rampasan dianggarkan RM8.18 juta," katanya dalam sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur dekat sini pada Rabu.
Kok Chin berkata, modus operandi sindiket yang disyaki aktif sejak awal tahun itu adalah rumah tersebut dijadikan sebagai tempat penyimpanan dan pembungkusan dadah sebelum diedarkan untuk pasaran dalam dan luar negara.
"Jumlah dadah yang dirampas itu dianggarkan boleh digunakan oleh seramai 1,277,870 penagih dadah," katanya.
Dalam kes berasingan, Kok Chin berkata, seorang lelaki warga tempatan ditahan dalam serbuan di sebuah premis di Taman Perindustrian KIP Kepong, pada hari sama.
"Lelaki yang berperanan sebagai penjaga stor berusia 32 tahun itu, ditahan pada jam 8 malam ketika sedang memunggah guni dari sebuah kereta jenis Perodua Ativa ke dalam premis berkenaan.
"Pemeriksaan lanjut terhadap kereta dan premis itu menjumpai 350 paket bertulisan epal merah berisi dadah syabu seberat 357,603 gram yang dianggarkan bernilai RM11.4 juta," katanya.
Menurutnya, saringan awal terhadap kesemua suspek mendapati negatif dadah manakala semakan rekod jenayah pula mendapati kesemua suspek juga tidak mempunyai rekod jenayah lampau.
Kok Chin berkata, kesemua suspek itu direman selama tujuh hari bermula Selasa hingga Isnin bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.
"Kita akan menjalankan siasatan lanjut bagi mengesan rangkaian sindiket yang masih bebas untuk diheret ke muka pengadilan," ujarnya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!