Bekas wartawan didakwa sakitkan hati bekas kekasih

Nurfateha (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret pada Rabu.
Nurfateha (tengah) mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen dan Majistret pada Rabu.
A
A
A

MELAKA - Seorang bekas wartawan wanita didakwa di Mahkamah Sesyen dekat sini pada Rabu atas tuduhan melakukan hantaran komunikasi jelik terhadap bekas kekasih.

Tertuduh yang kini bekerja sebagai jurugambar sambilan, Nurfateha Othman, 42, bagaimanapun mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azaraorni Abd. Rahman.

Mengikut pertuduhan, dia didakwa menggunakan laman sosial Facebook melalui profil aspalelah zizah torak secara sedar membuat dan memulakan komunikasi jelik dengan niat menyakitkan hati serta mengganggu, Mohd Dzuhairy Hussain, 43.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di sebuah rumah di Taman Saujana Seksyen 2, Bukit Katil di sini, kira-kira jam 2 petang, pada awal Januari lalu.

Pendakwaan dijalankan mengikut Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang membawa kepada hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih satu tahun atau keduanya sekali dan hendaklah juga didenda RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu, jika disabitkan kesalahan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Muhamad Ali Hussain menawarkan jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin selain syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri kepada pegawai penyiasat sebulan sekali dan dilarang mengganggu mangsa sehingga kes selesai.

Namun Peguam Mohamed Musthafa yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah kerana anak guamnya hanya memperolehi pendapatan sebanyak RM2,200 sebulan manakala suaminya bekerja sebagai penjual roti dengan gaji RM1,900 sebulan serta memiliki empat anak termasuk bongsu berusia tiga tahun.

Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh dijamin RM7,000 dengan seorang penjamin serta membenarkan syarat tambahan yang dipohon pendakwaan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah turut menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes.

Sementara itu, dalam prosiding berasingan, tertuduh mengaku tidak bersalah di hadapan Majistret Khairunnisak Hassni atas tuduhan mengaibkan kehormatan mangsa sama dengan cara memuat naik gambar, butiran dan perbualan aplikasi Whatsapp di Facebook.

Kesalahan bagi kes itu dijalankan mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan, yang memperuntukan hukuman penjara sehingga lima tahun atau denda atau keduanya sekali, sabit kesalahan.

Timbalan Pendakwa Raya, Wardah Ishhar mencadangkan jaminan berjumlah RM7,000 dan mahkmah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin sebanyak RM3,000.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!