[VIDEO] Keputusan Bung Moktar, Zizie Izette kes rasuah RM2.8 juta 18 November

A
A
A

PUTRAJAYA – Keputusan sama ada Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isterinya, Datin Seri Zizie Izette Abdul Samad kekal bebas atau diperintah membela diri daripada tiga pertuduhan rasuah membabitkan RM2.8 juta berkaitan pelaburan Felcra Bhd di Mahkamah Rayuan di sini ditetapkan pada 18 November depan.

Bung Moktar dan Zizie Izette hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Rabu, bagi prosiding hujahan rayuan kes subahat.
Bung Moktar dan Zizie Izette hadir ke Mahkamah Rayuan Putrajaya pada Rabu, bagi prosiding hujahan rayuan kes subahat.

Panel tiga hakim dipengerusikan Datuk Ahmad Zaidi Ibrahim menetapkan tarikh itu selepas meneliti hujahan bertulis pihak pendakwaan dan mendengar hujahan lisan daripada pembelaan berhubung keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, yang membebaskan pasangan suami isteri itu pada September tahun lalu.

“Mahkamah merasakan hujahan bertulis pendakwaan mencukupi untuk kami menganalisa dan membuat keputusan berhubung rayuan hari ini.

“Jadi tiada perlu untuk memanjangkannya lagi,” kata Ahmad Zaidi yang bersidang bersama Hakim, Datuk Mohamed Zaini Mazlan dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Noorin Badaruddin.

Dalam prosiding ini, pihak pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Maziah Mohaide manakala pembelaan oleh peguam, M Athimulan dan Datuk K Kumaraendran.

Semasa prosiding, Maziah berkata, Timbalan Pendakwa Raya, Law Chin How tidak dapat hadir ke mahkamah kerana sakit.

“Hari ini, saya mohon untuk menangguhkan prosiding rayuan, namun seperti mahkamah tidak membenarkan perkara itu dan mahu meneruskan kes.

Artikel Berkaitan:

“Selepas mendapat arahan daripada pengarah Bahagian Perundangan dan Pendakwaan, jika mahkamah ingin meneruskan rayuan pihak pendakwaan akan menggunakan sepenuhnya hujahan bertulis yang telah difailkan pada 20 Jun lalu," katanya.

Pada 3 Mei 2019, Ahli Parlimen Kinabatangan itu didakwa atas dua pertuduhan menerima rasuah sebanyak RM2.2 juta dan RM262,500 sebagai dorongan mendapatkan kelulusan Felcra untuk membuat pelaburan RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual.

Bung Moktar yang ketika itu Pengerusi Bukan Eksekutif Felcra didakwa menerima rasuah daripada ejen pelaburan Public Mutual Berhad, Madhi Abdul Hamid, 45, melalui Zizie Izette di Public Bank cawangan Taman Melawati, antara jam 12.30 tengah hari dan 5 petang, 12 Jun 2015.

Ahli politik itu juga didakwa menerima suapan RM337,500 daripada perunding Unit Amanah, Norhaili Ahmad Mokhtar, 47, di bawah nama Zizie Izette atas sebab sama dan di tempat serupa pada 19 Jun 2015.

Pendakwaan terhadap Bung Moktar dikemukakan mengikut Subseksyen 17(a) Akta SPRM dan boleh dihukum bawah Seksyen 24(1) akta sama.

Seksyen itu memperuntukkan hukuman penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana lebih tinggi, jika sabit kesalahan.

Zizie Izette pula mengaku tidak bersalah atas tiga tuduhan bersubahat dengan suaminya berhubung perkara itu.

Pada 2 September 2022, Mahkamah Sesyen memerintahkan pasangan suami isteri ini membela diri atas tuduhan berkenaan.

Pada 7 Julai 2023, Mahkamah Rayuan memerintahkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan Bung Moktar ini dan Zizie Izette, untuk menyemak keputusan Mahkamah Sesyen yang mengarahkan pasangan itu membela diri.

Pada 7 September tahun sama, Mahkamah Tinggi di sini kemudiannya membenarkan permohonan semakan pasangan ini berhubung keputusan berkenaan.

Berdasarkan keputusan itu, Hakim Datuk Azhar Abdul Hamid melepas dan membebaskan pasangan suami isteri itu daripada tuduhan berkenaan.

Hampir dua minggu kemudian, pendakwaan memfailkan rayuan pada 18 September 2023 berhubung keputusan pembebasan mereka.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!