Premis proses getah terpakai keluar bau busuk ditahan operasi
KULIM - Sebuah premis memproses getah terpakai di sini yang mengeluarkan bau busuk dikenakan tindakan penahanan operasi kelengkapan (POK) pada Selasa.
Pengarah Jabatan Alam Sekitar (JAS) Kedah, Sharifah Zakiah Syed Sahab berkata, tindakan diambil selepas menerima aduan awam dan didapati premis berkenaan tidak mematuhi syarat di bawah Seksyen 38(1)(a) Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.
"Siasatan lanjut mendapati alat kawalan pencemaran udara yang dipasang iaitu 'scrubber' tidak berfungsi dengan baik dan memerlukan penyelenggaraan.
"Sehubungan itu, kes disiasat di bawah Peraturan Peraturan Kualiti Alam Sekeliling (Udara Bersih) 2014 dan jika disabitkan kesalahan boleh dihukum dengan denda RM100,000 atau penjara tidak lebih dua tahun atau kedua-duanya," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Sharifah Zakiah memaklumkan, pihaknya juga membuat penahanan Operasi Kelengkapan di bawah Seksyen 38, Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 atas kegagalan sistem berfungsi dengan baik dan bagi menghentikan punca pencemaran.
"Selain itu, Notis Arahan di bawah Seksyen 31 dan 37 Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 turut dikeluarkan supaya pihak premis mengambil tindakan pembetulan dan membuat penyelenggaraan ke atas alat kawalan scrubber di premis mereka," katanya.
Beliau menambah, tempoh notis yang diberikan adalah selama dua minggu bagi pihak premis mematuhi arahan yang diberikan oleh JAS.
Dalam perkembangan sama, katanya, pengawasan kualiti udara dijalankan di kawasan yang diadukan selama 72 jam bagi mendapatkan pengukuran bacaan sebenar pencemar udara yang dihasilkan oleh premis ini.
Tambah beliau lagi, JAS Kedah sentiasa komited dalam menguatkuasakan Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 bagi memastikan kesejahteraan alam sekitar dapat dikekalkan dan kualiti alam sekitar dapat dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!