Isu Lynas: Adakah PH sanggup mohon maaf secara terbuka? – Ka Siong

Tangkap layar rakaman video Ka Siong mengulas mengenai podcast antara Rafizi dan See-To yang disiarkan minggu lalu.
Tangkap layar rakaman video Ka Siong mengulas mengenai podcast antara Rafizi dan See-To yang disiarkan minggu lalu.
A
A
A

SHAH ALAM – Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong mempersoalkan kesanggupan kerajaan Pakatan Harapan (PH) untuk membuat permohonan maaf secara terbuka dan ikhlas kepada Barisan Nasional (BN) berhubung isu kilang memproses nadir bumi, Lynas Malaysia Sdn Bhd (Lynas).

Ka Siong mendakwa, ia kerana kerajaan PH yang dahulunya memfitnah BN berhubung isu Lynas dan kini sudah membuat pusingan U.

“Saya bukannya nak menyangkal mana-mana pihak dalam hal ini cumanya saya hendak mengingatkan apa yang berlaku sebelum 2018 di mana rakan-rakan seperjuangan saya dalam MCA dan BN teruk dikecam dengan pelbagai tuduhan tidak berasas serta dipanah dengan fitnah bertalu-talu tanpa belas kasihan.

“Kini mereka (PH) yang dahulunya fitnah dan caci kami pula dah buat pusingan U, setuju pula dengan apa yang kami lakukan dulu. Maka adakah hari ini mereka sanggup memohon maaf secara terbuka dan ikhlas?” soalnya menerusi satu rakaman video yang dimuat naik di Facebook.

Menerusi video terbabit, Ka Siong yang juga Ahli Parlimen Ayer Hitam membuat ulasannya mengenai podcast Yang Bakar Menteri antara Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli dengan pengkritik Rafizi dikenali sebagai Lim Sian See atau nama sebenarnya Datuk Eric See-To yang disiarkan minggu lalu.

Ka Siong mendakwa, jawapan yang diberikan dalam podcast memberi gambaran kerajaan PH membuat pusingan U dalam isu Lyns dengan dengan satu perkembangan terbaharu iaitu sisa-sisa buangan nadir bumi akan dihantar keluar dari Malaysia.

“Eh kejap, bukan ke dulu lain ceritanya? Dulu langsung tak boleh terima kewujudan kilang Lynas. Kata loji nuklearlah, ramai yang akan matilah, kena radiasilah...yang paling dahsyat siap nak bakar kilang Lynas lagi.

“Saya dah semak pada masa itu tidak ada pula saya nampak cadangan-cadangan daripada pemimpin politik sebelah sana yang menyatakan sokongan untuk kekalkan Lynas sekiranya sisa-sisa buangan nadir bumi dihantar ke luar Malaysia.

Artikel Berkaitan:

“Ada siapa-siapa pernah nampak, dengar atau terbaca kenyataan mereka sebelum 2018 lalu? Ada tak mereka kata okay kami sokong usaha BN rancakan ekonomi negara menerusi Lynas sekiranya sisa-sisa buangan nadir bumi dihantar ke luar dari Malaysia?” soalnya lagi.

Menurutnya, kerajaan PH 1.0 telah melanjutkan lesen kepada Lynas pada 2019 dan memberikan syarat kepada Lynas supaya mengemukakan pelan perancangan pembinaan atau tapak pembuangan sisa kekal.

Kata beliau, maksudnya kerajaan PH 1.0 telah membenarkan Lynas untuk terus beroperasi tanpa perlu menghantar sisa buangan ke luar Malaysia.

“Nampaknya hari ini mereka terpaksa menjilat semula ludah sendiri, menelan segala kata-kata cacian yang mereka lemparkan kepada BN dulu.

“Suka tak suka hari ini mereka terpaksa mengakui bahawa dulu mereka salah, BN betul. Saya tahu ia kebenaran yang pahit untuk ditelan oleh Rafizi dan rakan-rakan,” dakwa beliau.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!