Kelapa, durian diletakkan bawah Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia
PUTRAJAYA - Lembaga Perindustrian Nanas Malaysia (LPNM) akan diperluaskan fungsinya dengan menguruskan komoditi durian dan kelapa.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, langkah itu bertujuan untuk mengurangkan defisit imbangan dagangan melalui ketiga-tiga komoditi yang mendapat permintaan tinggi.
"Sudah tiba masanya sebuah lembaga yang menguruskan komoditi durian ditubuhkan," katanya ketika berucap di perhimpunan bulanan KPKM di sini pada Rabu.
Ujar beliau, 40 tan metrik durian segar Malaysia telah habis terjual dalam masa 24 jam di pasaran China pada 4 Oktober lalu.
"Begitu juga dengan nanas, kita hanya mampu mengeksport 800 kontena setahun sedangkan permintaannya adalah 4,000 kontena setahun.
"Justeru kita akan berusaha untuk mencari peluang-peluang baharu yang dapat dimanfaatkan dengan sebaiknya bagi kebaikan negara dan rakyat di masa hadapan," kata Mohamad.
Jelasnya, Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan juga Bahagian Pembangunan Perniagaan dan Pelaburan (BDI) KPKM hendaklah bekerjasama rapat ke arah merealisasikan impian tersebut.
Mengulas lanjut, beliau berkata, KPKM melihat potensi besar terhadap durian kampung yang diusahakan pekebun kecil dan bumiputera.
"Kita akan usahakan untuk berbincang dengan China agar durian kampung dapat dieksport jika mencapai kualiti tertentu.
"Ini dapat membantu pekebun durian dan juga nanas untuk mengeksport hasil tanaman mereka sekali gus dapat menambah pendapatan kepada negara," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!