Yusoff Rawther didakwa lagi, miliki dua pistol tiruan

Muhammed Yusoff (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 12 September lalu, selepas polis menemui dadah dalam kenderaan dinaikinya.
Muhammed Yusoff (dua dari kanan) dibawa ke Kompleks Mahkamah Kuala Lumpur pada 12 September lalu, selepas polis menemui dadah dalam kenderaan dinaikinya.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Bekas pembantu penyelidik Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Muhammed Yusoff Rawther didakwa lagi di Mahkamah Majistret di sini pada Rabu, atas satu pertuduhan memiliki dua pistol tiruan, bulan lalu.

Muhammed Yusoff Rawther, 31, mengaku tidak bersalah selepas pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret, S Mageswary.

Mengikut pertuduhan, Muhammed Yusoff didakwa memiliki dua senjata itu di tepi jalan berhampiran sebuah kondominium di Jalan Bukit Kiara di sini, pada jam 9.25 pagi, 6 September lalu.

Pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 36(1) Akta Senjata 1960 yang membawa hukuman penjara maksimum satu tahun atau denda tidak melebihi RM5,000 atau kedua-dua sekali, jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding, Timbalan Pendakwa Raya, Mohd Sabri Othman mencadangkan, lelaki itu diberi ikat jamin sebanyak RM20,000 dan seorang penjamin tempatan.

Sementara itu, peguam, Nurmustanir Md Nor yang mewakili tertuduh, tidak membuat sebarang rayuan berhubung jaminan kerana Muhammed Yusoff masih ditahan reman berhubung kes pengedaran dadah.

Selepas mendengar permohonan daripada kedua-dua pihak, Mageswary tidak membenarkan sebarang jaminan dan menetapkan 12 November depan untuk sebutan semula kes itu.

Pada 12 September lalu, dia didakwa di Mahkamah Majistret di sini atas satu pertuduhan mengedar dadah jenis kanabis seberat 305 gram, dalam kenderaan dinaikinya, di hadapan surau Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur, pada jam 10.15 pagi, 6 September.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh, kerana kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Tinggi.

Dia dituduh mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 39B(2) akta sama yang membawa hukuman penjara seumur hidup dan juga hendaklah disebat tidak kurang 12 sebatan.

Sebelum ini, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa mengesahkan penahanan Muhammed Yusoff berhubung penemuan dua pistol tiruan dan ganja.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!