Tak mustahil menang besar PRU16, jika momentum PRK diteruskan - Puad Zarkashi

Mohd Puad
Mohd Puad
A
A
A

SHAH ALAM - Tidak mustahil Kerajaan Perpaduan mencapai kemenangan besar dalam Pilihan Raya Umum ke-16 (PRU16) jika momentum Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota dapat dikekalkan.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, bagaimanapun kes bekas presiden, Datuk Seri Najib Tun Razak tetap menjadi isu utama bagi partinya.

Ujar beliau, kerajaan dan para menteri juga perlu buktikan bahawa mereka memberikan perkhidmatan berprestasi tinggi kepada rakyat.

“Apatah lagi jika tempoh hingga bulan Disember 2027 tidak dipersia-siakan.

“Tidak ada formula karut dan jadi bahan jenaka. Bagi UMNO, isu Najib tetap isu utama,” katanya dalam hantaran di Facebook pada Rabu.

Kerajaan Perpaduan di bawah pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim melibatkan beberapa gabungan parti utama seperti Pakatan Harapan (PH), Barisan Nasional (BN) dan Gabungan Parti Sarawak (GPS).

Gabungan tiga parti utama itu menjadikan Kerajaan Perpaduan dibentuk pada 24 November 2022 dengan hasil sokongan 135 kerusi masing-masing 82 kerusi dari PH, BN (30), GPS (23).

Penubuhan itu bagi menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong ke-16, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah sekali gus mengakhiri kemelut pembentukan kerajaan pasca-Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Artikel Berkaitan:

Pada 22 Ogos 2022 lalu, Najib buat pertama kalinya dalam catatan sejarah negara, menjadi bekas perdana menteri pertama dipenjarakan kerana menyeleweng dana SRC International Sdn Bhd berjumlah RM42 juta.

Keputusan Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan dan hukuman penjara 12 tahun serta denda RM210 juta atau penjara lima tahun sekiranya gagal membayar denda ke atas Najib.

Bekas Menteri Kewangan itu menghadapi tiga lagi kes di mahkamah membabitkan dakwaan penyelewengan dana RM2.3 bilion 1Malaysia Development Berhad (1MDB), pecah amanah berjumlah RM6.6 bilion berkaitan bayaran kepada International Petroleum Investment Company (IPIC) dan pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan dana SRC International berjumlah RM27 juta.

Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2024 pada 23 Ogos lalu menerima 171 usul, dengan 72 daripadanya menuntut agenda memberi keadilan dan pengampunan penuh kepada Najib.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!