Penjarahan Hutan Sungai Lembing, Dewan Pemuda Pas tuntut penjelasan

Keratan Sinar Harian mengenai permintaan Mohamad Ayub supaya Kerajaan Pahang beri penjelasan berhubung dakwaan penjarahan Hutan Sungai Lembing. Gambar kanan: Ahmad Azlan
Keratan Sinar Harian mengenai permintaan Mohamad Ayub supaya Kerajaan Pahang beri penjelasan berhubung dakwaan penjarahan Hutan Sungai Lembing. Gambar kanan: Ahmad Azlan
A
A
A

KUANTAN - Dewan Pemuda Pas Pahang menuntut penjelasan tuntas daripada agensi berkaitan dan kerajaan negeri berhubung dakwaan penjarahan Hutan Sungai Lembing.

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar berkata, penjelasan itu susulan pendedahan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri pada Isnin kerana pihaknya khuatir berlaku bencana tidak diingini di negeri ini.

Menurutnya, saban tahun apabila musim tengkujuh tiba, Pekan Sungai Lembing dilanda banjir dan menelan kos ribuan, malah mungkin jutaan ringgit yang ditanggung penduduk di situ.

"Kami terkejut dan kesal dengan apa yang berlaku di Hutan Sungai Lembing seperti yang didedahkan oleh YB (Yang Berhormat) Sungai Lembing baru-baru ini.

"Jika penjarahan ini terus berleluasa kami bimbang pelbagai musibah lain yang akan menimpa penduduk di Pekan Sungai Lembing," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Beliau memberitahu, Sungai Lembing merupakan salah satu produk pelancongan Negeri Pahang yang penuh dengan nilai sejarah.

"Kita berharap Sungai Lembing akan terus kekal menjadi produk pelancongan Pahang yang ulung, selain menggalakkan rakyat (supaya) melawat Sungai Lembing yang penuh dengan nilai sejarah sekali gus menjana ekonomi masyarakat setempat," ujarnya.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan pendedahan yang dibuat Mohamad Ayub menerusi hantaran di Facebook miliknya, memohon penjelasan daripada kerajaan Pahang dan agensi berkaitan berhubung dakwaan terdapat penghapusan hutan di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan itu dibuat selepas beliau menerima surat edaran daripada agensi penguatkuasaan berhubung kegiatan itu di kawasan hutan berkenaan pada 27 September lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!