Polis akan panggil media antarabangsa Bloomberg

Rusdi (kiri), Laporan Sinar Harian
Rusdi (kiri), Laporan Sinar Harian
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis akan memanggil pihak media antarabangsa, Bloomberg untuk siasatan dakwaan campur tangan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam siasatan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa berkata, laporan kes itu dibuat oleh SPRM susulan kenyataan yang dikeluarkan bekas Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO, Isham Jalil di media sosial.

"Setakat ini kita telah ambil keterangan dua orang iaitu pihak pengadu (SPRM) serta Isham.

"Beberapa individu juga akan dipanggil khususnya daripada Bloomberg dalam masa terdekat," katanya kepada pemberita selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Daerah Cheras di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras di sini pada Rabu.

Tambahnya, siasatan dijalankan di bawah Seksyen 500 Kanun Keseksaan, Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan dan Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan kenyataan Ketua Polis Daerah Putrajaya, Asisten Komisioner Aidi Sham Mohamed yang mengesahkan pihaknya telah merekod keterangan Isham di IPD Putrajaya.

Isham sebelum itu mengeluarkan kenyataan menggesa Anwar menyaman Bloomberg mengenai dakwaan campur tangan dalam siasatan SPRM.

Isham mencadangkan tindakan saman terhadap Bloomberg kerana menyiarkan laporan yang menyatakan Anwar meminta SPRM untuk tidak siasat bekas setiausaha politiknya, Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak berhubung kes beli saham bernilai jutaan ringgit.

Artikel Berkaitan:

Isham turut memaklumkan jika kenyataan Bloomberg itu tidak benar ia adalah fitnah yang berat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!