'Kerjasama STAR, PBS dan Warisan hanya provokasi lemahkan GRS' - Jeffrey

Jeffrey Kitingan
Jeffrey Kitingan
A
A
A

PENAMPANG - Kerjasama antara Parti Solidariti Tanah Airku (STAR), Parti Bersatu Sabah (PBS) dan Parti Warisan (Warisan) diharap tidak akan berlaku, kata Presiden STAR, Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan.

Jeffrey yang juga Timbalan Pengerusi Gabungan Rakyat Sabah (GRS) tidak menolak situasi politik sentiasa berubah namun menganggap provokasi itu hanya untuk melemahkan gabungan tersebut.

"Dalam politik, apa pun boleh berlaku dan kita tidak menutup keberangkalian itu bila-bila masa, saat akhir pun boleh berlaku.

"Tetapi saya harap tidak begitulah sebab yang berlaku sekarang adalah provokasi, propaganda dan juga satu rancangan untuk melemahkan perpaduan kita dalam GRS, tidak hairanlah," katanya kepada pemberita selepas merasmikan pejabat baharu STAR Bahagian Moyog di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai provokasi baru-baru ini tular di media sosial yang mahukan STAR, PBS dan Warisan membentuk kerjasama.

Untuk rekod, STAR dan PBS merupakan rakan gabungan dalam GRS dan kedua-dua parti itu turut menandatangani satu memorandum persefahaman (MoU) bagi mengukuhkan kerjasama politik antara kedua-dua parti menjelang PRN17 Sabah.

Sementara itu, ditanya mengenai rancangan untuk mendapatkan kerusi tambahan untuk STAR dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah akan datang, beliau berkata, perkara itu perlu dibincangkan bersama dalam parti.

"Kita memang ada rancangan tetapi kita perlu bincang di dalam forum parti untuk kita membuat keputusan. Jadi sekarang ini saya tidak boleh dedahkannya," katanya.

Artikel Berkaitan:

Ditanya lanjut jika ada perbincangan tambahan kerusi memandangkan wujudnya kolaborasi STAR dan PBS, beliau menyatakan bahawa perkara itu telah dibincangkan bersama antara kedua-dua parti.

"Tetapi belum lagi dimuktamadkan, kami sedang melihat pelbagai pilihan, kemungkinan dan kawasan mana yang kita boleh menang.

"Tidak ada gunanya kita tuntut kerusi kalau tidak ada peluang untuk menang. Jadi rancangan kami adalah mengenal pasti kawasan yang kita boleh menang untuk kita tuntut," katanya.

Dalam pada itu, beliau turut menyatakan keyakinannya menggunakan logo GRS untuk bertanding dalam PRN17 akan datang.

"Bagi saya, memang saya selalu yakin bila kita guna sesuatu logo, kita mesti yakin baru kita dapat gunakan logo itu. Bolehlah saya katakan sekarang ini saya yakin 100 peratus," katanya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!