APM Pulau Pinang kenal pasti 124 'hotspot' banjir
BUTTERWORTH - Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Pulau Pinang telah mengenal pasti 124 'hotspot' yang sering dinaiki air apabila berlaku hujan lebat berterusan di negeri ini.
Penolong Pengarah Sektor Operasi APM Pulau Pinang, Mejar (PA) Kamal Jakarinah berkata, Daerah Seberang Perai Tengah (SPT) mencatatkan kawasan terbanyak berisiko banjir iaitu 44 lokasi diikuti Seberang Perai Tengah, 37 dan masing-masing 15 tempat di Seberang Perai Selatan dan Barat Daya.
Menurutnya, di Daerah Timur Laut sebanyak 15 kawasan dikenal pasti sebagai kawasan hotspot banjir.
"Bagi menghadapi musim Monsun Timur Laut ketika ini, kita telah mengaktifkan Pusat Tindakbalas Bencana di semua daerah dengan seramai 81 pegawai dan 429 anggota APM Pulau Pinang bersiap siaga untuk diatur gerak sekiranya sebarang insiden berlaku.
"Selain itu, semua jentera dan aset iaitu 38 unit aset darat dan 67 unit aset air juga telah bersiap sedia untuk digerakkan ke mana-mana jua kawasan bencana pada bila-bila masa,"katanya ketika ditemui pemberita pada sidang akhbar di sini, pada Rabu.
Sebelum ini, Jabatan Meteorologi (MetMalaysia) meramalkan monsun timur laut akan bermula pada awal bulan depan sehingga Mac 2025.
Dilaporkan juga fenomena La Nina dijangka bermula pada penghujung 2024 dan berterusan sehingga pertengahan 2025.
Mengulas lanjut mengenai persiapan menghadapi Monsun Timur Laut, Kamal berkata, pihaknya juga telah berjaya melaksanakan Program Kampung Siaga 221 Komuniti Berdaya Tahan Bencana dengan memberi latihan asas tindakan semasa situasi bencana dan kecemasan.
Jelasnya, seramai 570 orang dari tujuh buah kampung di negeri ini telah menjalani latihan berkenaan dan akan diperluaskan dengan menumpukan kepada kawasan yang dikenal pasti berisiko dari semasa ke semasa.
"Kita kenal pasti kawasan yang berisiko terutamanya penduduk yang tinggal berhampiran dengan kawasan sungai untuk diberi latihan asas sekiranya berlaku sebarang kecemasan.
"Kita dapati selepas latihan asas ini diberikan ia akan memudahkan lagi komunikasi dengan penduduk kampung dalam kerja-kerja menyelamat termasuk memindahkan mangsa-mangsa ke pusat pemindahan sementara (PPS),"katanya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!