Lelaki pecah kedai runcit didenda RM800, tiga bulan penjara
REMBAU- Seorang pekerja pembersihan dijatuhi hukuman tiga bulan penjara dan denda RM800 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memecah sebuah kedai runcit minggu lalu.
Tertuduh Muhammad Rafik Asraaf Fauzi, 21 tahun, membuat pengakuan berkenaan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Kartini Kasran.
Majistret turut menetapkan tertuduh dikenakan dua bulan penjara sekiranya gagal membayar denda tersebut.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didapati melakukan pecah kedai runcit dengan cara masuk melalui loteng bumbung premis dan telah pecahkan siling loteng bagi maksud mencuri wang tunai milik peniaga berumur 56 tahun.
Perbuatan itu dilakukan tertuduh pada 2 Oktober lalu jam lebih kurang 2 pagi bertempat di sebuah kedai runcit di Londah, Gemas di Tampin.
Sehubungan itu, tertuduh telah melakukan satu kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 457 Kanun Keseksaan.
Jika sabit kesalahan, penjara selama tempoh boleh sampai lima tahun dan bolehlah juga dikenakan denda, dan bagi mana-mana satu kesalahan itu yang dilakukan kali yang kedua atau kemudian bolehlah juga dikenakan denda atau sebat.
Tertuduh yang diwakili peguam dari Yayasan Bantuan Guaman Kebangsaan (YBGK), Siti Syuhada Mohd Isa dalam rayuannya memohon mahkamah mengenakan hukuman paling minumum berikutan tertuduh perlu menanggung keluarga termasuk dua anak saudaranya.
Katanya, tertuduh telah insaf dan tindakan tertuduh itu akibat terdesak bagi menampung kos pengebumian neneknya.
Pegawai pendakwa, Inspektor Ali Yaacob Abdullah memohon mahkamah mengenakan hukuman setimpal terhadap tertuduh dengan mengambil kira kerugian mangsa.
Media sebelum ini melaporkan, polis menahan seorang lelaki tidak sampai empat jam selepas menerima laporan mengenai kejadian pecah masuk sebuah kedai runcit di Taman Halacara Baru Londah, Gemas, Tampin.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!