Strategi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada 2025 perkukuh nilai serantau - PM

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima, kanan) bergambar bersama pemimpin negara ASEAN pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Pusat Konvensyen Kebangsaan pada Rabu. Foto Bernama
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim (lima, kanan) bergambar bersama pemimpin negara ASEAN pada Sesi Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 di Pusat Konvensyen Kebangsaan pada Rabu. Foto Bernama
A
A
A

VIENTIANE - Malaysia telah menggariskan tiga strategi untuk ASEAN apabila ia mengambil alih jawatan pengerusi perkumpulan tersebut pada 2025, termasuk mengukuhkan rantaian nilai serantau dan kerjasama kawal selia.

Berucap pada Sidang Pleno Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 hari ini, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, langkah ini penting untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan serta menggalakkan transformasi digital di rantau ini.

Beliau berkata, dua strategi lain ialah mengukuhkan asas negara anggota serta memperbaharui, menyusun semula dan menyelaraskan ekonomi mereka selain memanfaatkan kekuatan masing-masing.

"(ASEAN) perlu merangka semula serta menjamin rantaian bekalan serantau dan kaitannya dengan ekonomi global.

"Saya percaya jika kita meneruskan hala tuju ini dengan tekad dan komitmen, ASEAN dapat mencapai ekonomi yang berdaya tahan dan berada di landasan yang tepat untuk menjadi ekonomi keempat terbesar menjelang 2030,” kata Anwar.

Sebagai Pengerusi ASEAN yang akan datang, Anwar merupakan pemimpin kedua yang berucap selepas Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone pada sesi pleno tersebut.

Semua pemimpin dari 10 negara anggota ASEAN menghadiri sesi pleno itu yang diadakan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC), di sini.

Anwar berkata, perdagangan antara ASEAN kekal rendah sejak beberapa dekad yang lepas walaupun Asia Tenggara mencatatkan pertumbuhan ekonomi yang amat pesat.

Artikel Berkaitan:

"Saya percaya terdapat potensi yang besar untuk menambah baik perkara ini, terutamanya dengan Perjanjian Perdagangan Barangan ASEAN (ATIGA) yang dipertingkatkan yang akan ditandatangani pada 2025,” kata beliau.

Selain itu, beliau berkata, penting untuk ASEAN mengkaji dan memperluas kerjasama ekonomi perkumpulan itu melangkaui sempadan rantau ini.

"Cadangan Malaysia untuk Sidang Kemuncak ASEANGCC + China pada 2025 bertujuan untuk mencapai matlamat ini. Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada negara anggota ASEAN atas sokongan anda terhadap cadangan ini,” kata beliau.

Mengulas mengenai penyertaan Timor-Leste dalam perkumpulan itu, Anwar berkata, langkah itu akan meningkatkan ekonomi rantau ini dan menyumbang kepada menjadikan ASEAN sebagai blok yang lebih berdaya tahan dari segi ekonomi, menempatkannya di landasan untuk menjadi ekonomi keempat terbesar di dunia menjelang 2030.

"Malaysia menantikan cadangan daripada pegawai kanan kami mengenai langkah-langkah untuk memudahkan keanggotaan penuh awal Timor-Leste dalam ASEAN,” kata beliau.

Timor-Leste telah diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan mendapat persetujuan secara prinsip untuk menyertai blok ASEAN pada Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 di Kemboja pada 2022.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang-sidang Berkaitan telah bermula secara rasmi di ibu negara Laos pada Rabu dan akan berlangsung sehingga Jumaat.

Anwar, yang tiba di sini pada Selasa malam, juga akan menghadiri Sidang Kemuncak Campur Satu antara ASEAN dan tujuh Rakan Dialognya iaitu Australia, China, Jepun, India, Korea Selatan, Amerika Syarikat, dan Kanada, serta Sidang Kemuncak ASEAN Campur Tiga, Sidang Kemuncak Asia Timur dan Sidang Kemuncak ASEAN-Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu.

Pemimpin ASEAN dan rakan dialog lain, termasuk Perdana Menteri China Li Qiang dan Setiausaha Negara Amerika Syarikat Antony Blinken, juga menghadiri sidang-sidang tersebut.

Sidang kemuncak itu akan berakhir pada 11 Oktober, dengan Laos akan menyerahkan jawatan Pengerusi ASEAN kepada Malaysia pada majlis penutup.

Menurut Wisma Putra, Anwar dijadualkan menyampaikan ucapan yang menggariskan visi Malaysia sebagai Pengerusi ASEAN pada majlis itu dan Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025. - Bernama

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!