Pelajar lemas ketika sambut hari lahir rakan di Pulau Carey

Mayat mangsa dijumpai pada jam 3.15 pagi Rabu selepas dilapor hilang ketika mandi di pantai sekitar Pulau Carey, Kuala Langat. Gambar kecil: Ahmad Ridhwan
Mayat mangsa dijumpai pada jam 3.15 pagi Rabu selepas dilapor hilang ketika mandi di pantai sekitar Pulau Carey, Kuala Langat. Gambar kecil: Ahmad Ridhwan
A
A
A

KUALA LANGAT - Kegembiraan sekumpulan pelajar sekolah mengunjungi pantai di Pulau Carey dekat di sini pada Selasa, untuk menyambut hari lahir berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka ditemui lemas.

Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintenden Ahmad Ridhwan Mohd Nor berkata, pihaknya menerima panggilan daripada MERS999 pada jam 7.19 petang memaklumkan seorang lelaki hilang semasa mandi di lokasi berkenaan.

Menurutnya, siasatan awal di tempat kejadian mendapati mangsa merupakan pelajar sekolah berusia 17 tahun.

"Mangsa bersama beberapa rakannya telah pergi ke lokasi terbabit untuk menyambut hari lahir salah seorang daripada mereka.

"Kemudian, mangsa bersama tiga lagi rakannya telah mandi di pantai. Mangsa telah berenang di kawasan alur air laut walaupun ditegah rakan yang lain, kira-kira lima minit kemudian, mangsa hilang disyaki dibawa arus," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, mayat mangsa bagaimanapun ditemui pada jam 3.15 pagi Rabu dan siasatan serta pemeriksaan fizikal mangsa mendapati tiada unsur jenayah.

"Mayat mangsa telah dibawa ke Hospital Banting untuk bedah siasat dan kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR)," katanya.

Artikel Berkaitan:
Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!