KKDW gesa hapuskan budaya silo
KUALA LUMPUR - [DIKEMAS KINI] Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) mengesa agensi yang berpayung di bawahnya menghapuskan budaya ‘silo’ atau bekerja dalam komuniti sendiri sebaliknya bersinergi dalam memacu ekosistem pembangunan luar bandar yang lebih holistik.
Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri KKDW, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, langkah itu bagi mendepani cabaran akibat kekangan sumber dan kemajuan teknologi melalui Rangka Kerja Kolaboratif yang menumpukan kepada perkongsian sumber, pengetahuan dan kepakaran untuk mencapai hasil yang optimum.
Katanya, ia kerana dalam konteks pembangunan desa setiap agensi di bawah KKDW mempunyai peranan yang unik tetapi saling melengkapi.
“Felcra berperanan dalam pembangunan tanah dan pertanian luar bandar, Majlis Amanah Rakyat (Mara) melahirkan usahawan dan melaksanakan agenda pendidikan, Jabatan kemajuan Orang Asli (Jakoa) dalam memperkasakan masyarakat Orang Asli dan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) dalam membangunkan pekebun kecil.
“Felcra Bhd contohnya telah berkerjasama dengan Jakoa bagi membangunkan 52 buah projek rancangan Orang Asli (ROA) dengan keluasan hampir 6,800 hektar yang memberi manfaat kepada hampir 2,100 peserta Orang Asli,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulan Oktober KKDW di Wisma Felcra Bhd, Setapak Jaya, di sini pada Rabu.
Hadir sama, Timbalan Menteri KKDW, Datuk Rubiah Wang; Pengerusi Felcra, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub dan Ketua Pegawai Eksekutif Felcra, Datuk Idris Lasim.
Perhimpunan kali ini juga menyaksikan seramai 20 pegawai KKDW termasuk Ketua Setiausaha KKDW, Datuk Muhd Khair Razman Mohamed Annuar menerima Watikah dan Pemakaian Pangkat Pegawai Kehormat dan Bersekutu Angkatan Pertahanan Awam Malaysia.
Sementara itu, Ahmad Zahid turut menggesa supaya setiap agensi di bawah KKDW mengorak langkah ke arah kemandirian dengan menjana pendapatan sendiri supaya tidak bergantung kepada peruntukan kerajaan dalam situasi ekonomi global yang tidak menentu sekarang.
Bagi menambahkan kecekapan agensi KKDW pula, beliau meminta supaya penggunaan Dashboard Komuniti Desa dimanfaatkan sepenuhnya seterusnya membolehkan akses kepada maklumat pertanian, pendidikan, latihan keusahawanan dan bantuan dapat dipercepatkan serta diperkasakan.
“Dashboard ini juga dapat membantu Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung (JPKK) serta Jawatankuasa Pembangunan dan Keselamatan Kampung Persekutuan (JPKKP) supaya lebih efisien dalam mengurus tadbir kampung,” ujarnya.
Ahmad Zahid memberitahu, beliau juga menyarankan agensi KKDW menjalin kerjasama dengan pihak swasta menerusi cadangan awal seperti ‘bootcamp’ literasi digital intensif melalui Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas).
Katanya, kerjasama juga perlu dilakukan dengan syarikat pelancongan untuk mempromosi pelancongan desa yang menonjolkan tradisi tempatan, kraftangan dan eko-pelancongan serta memasarkan homestay atau rumah-rumah kampung yang sedia ada untuk menarik lebih ramai pengunjung ke perkampungan desa.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!