'Beras disimpan untuk musim tengkujuh dimusnahkan gajah' - Penduduk Orang Asli

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

GUA MUSANG - Hampir 200 keluarga Orang Asli di Pos Belatim hidup dalam kebimbangan selepas kehadiran seekor gajah liar yang berkeliaran di kawasan penempatan mereka sejak bulan lepas.

Penduduk Orang Asli suku kaum Temiar di Kampung Kenben Sumyal Alang, 32, berkata, kejadian terbaharu berlaku di rumahnya pada Sabtu lepas apabila dinding di bahagian dapur roboh dan dirosakkan oleh haiwan berkenaan.

"Sebelum ini ada seekor gajah masuk kawasan Kampung Cacuh pada 11 September kira-kira jam 2 pagi dan selepas kejadian itu haiwan terbabit berterusan merosakkan kebun ubi kayu dan pisang di beberapa kampung termasuk Kampung Chemal, Kampung Kenben serta Kampung Kajak dengan jarak kira-kira dua kilometer antara satu sama lain.

"Saya rasa dapur saya roboh pun disebabkan oleh gajah yang sama dan mungkin haiwan itu lapar sebab bekalan beras dan kacang tanah yang disimpan untuk digunakan menjelang musim tengkujuh turut berselerak," katanya ketika ditemui pemberita di sini pada Rabu.

Mengulas lanjut, Sumyal berkata, ketika kejadian dia tidak ada di rumah kerana mahu mengutip durian di Kampung Cekrok sebelum dimaklumkan oleh rakannya berhubung insiden itu kira-kira jam 2 pagi.

Penduduk Kampung Cacuh Rahimi Dolah, 45, pula berkata, susulan daripada kejadian itu, kira-kira 50 penduduk terpaksa mengambil giliran berjaga sepanjang malam kerana risau kejadian sama akan berulang.

"Biasanya gajah ini akan mula mencari makanan pada waktu petang sehingga menjelang malam, jadi kami berpakat untuk berkumpul dan berjaga di Kampung Cacuh serta menghidupkan unggun api untuk halau gajah itu sekiranya muncul.

"Memang ada rasa takut, tapi kami terpaksa mengambil tindakan begini kerana gajah itu semakin berani mendekati kawasan kampung dan telah melaporkan kejadian berkenaan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan),” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Kelantan, Mohamad Hafid Rohani mengesahkan pihaknya telah menerima laporan berkaitan ancaman haiwan liar di pos itu dan dimaklumkan oleh penduduk bahawa kenderaan biasa tidak dapat memasuki Kampung Kenben disebabkan keadaan jalan yang teruk.

Artikel Berkaitan:

"Justeru, buat masa ini kita nasihatkan penduduk agar menjarakkan diri atau segera berlindung sekiranya terserempak dengan haiwan berkenaan serta tidak melakukan provokasi terhadapnya,” katanya. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!