Bekas pemandu lori berbasikal dari Temerloh ke Makkah
TEMERLOH - [DIKEMAS KINI] Bekas pemandu lori nekad menyahut cabaran untuk mengayuh basikal sejauh lebih 10,000 kilometer (km) menggunakan laluan darat ke tanah suci Makkah menerusi Kembara Anak Temerloh bermula Rabu.
Kembara yang mengambil tempoh kira-kira enam bulan itu akan merentas tujuh negara iaitu Thailand, India, Pakistan, Iran, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Arab Saudi selain Malaysia sendiri.
Ahmad Zulkifle Ahmad, 56, dari Taman Temerloh Jaya dekat sini berkata, misi tersebut sudah lama dirancang sejak tahun lalu dan kembara ke tanah suci Makkah itu menjadi impiannya selama ini.
"Niat ingin mengembara dan saya mula membuat persediaan rapi untuk stamina dan lain-lain sejak enam bulan lalu.
"Kembara ini akan turut disertai peserta lain diketuai Dahlan Yahya yang turut mengiringi perjalanan dari sini sebelum dua lagi turut sertai di Kuala Lumpur nanti," kata bapa kepada empat anak itu.
Beliau ditemui selepas pelepasan kembara di pekarangan Masjid Tengku Mahkota Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Taman Temerloh Jaya di sini pada Rabu.
Hadir sama, Pengerusi Masjid tersebut, Dr Abdullah Ismail.
Ditanya mengenai kos kembara itu, Ahmad Zulkifle berkata, sebanyak RM10,000 diperuntukkan dan turut menghargai sumbangan yang turut disalurkan pihak masjid serta orang ramai.
"Saya juga bersyukur kerana kembara ini mendapat sokongan kuat isteri, Faridah Musa, 58 dan keluarga," tambahnya pernah berbasikal ke Thailand dan Indonesia sebelum ini.
Sementara itu, Abdullah memberitahu, Ahmad Zulkifle adalah jemaah yang banyak membantu pihak masjid dalam menjalankan pelbagai aktiviti antaranya memasak serta urusan kematian.
"Beliau adalah aset utama masjid dan kita menyokong kembara ini yang sudah tentunya mengharumkan bukan nama masjid sahaja tapi Pahang dan Malaysia kerana ia satu misi yang jarang dilakukan.
"Kita berharap kembara ini berjalan lancar dan saudara Ahmad Zulkifle ini selamat tiba di kota suci Makkah pada tahun depan," jelasnya lagi.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!