Ang Kim Choo masih bersemangat pada usia 102 tahun

Kim Choo masih memasak untuk keluarga dan aktif di rumah.
Kim Choo masih memasak untuk keluarga dan aktif di rumah.
A
A
A

SHAH ALAM - Pernah berkhidmat sebagai anggota polis berpangkat konstabel di negara ini, seorang wanita warga emas menyambut kelahirannya yang ke-102 pada Selasa.

Ang Kim Choo juga masih bertenaga dan ceria walaupun melalui pelbagai kesukaran hidup setelah menyertai pasukan polis pada tahun 1954.

Wanita itu merupakan pencari nafkah tunggal keluarganya ketika itu dan terpaksa menjaga empat anak perempuan dan seorang anak lelakinya.

"Kerja keras membuatkan saya terus bersemangat," katanya memetik laporan The Star pada Rabu.

Kim Choo yang kini mempunyai sembilan cicit, ditemui ketika acara sambutan sempena hari kelahirannya pada Selasa yang turut dihadiri Pengerusi Kelab Pencegahan Jenayah Malaysia, Datuk Seri Johnny Ch’ng Ewe Gee dan aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye.

Berkongsi lanjut, Kim Choo berkata, dia memutuskan untuk menyertai pasukan polis kerana kesukaran hidup yang dihadapi ketika itu.

Dia juga merupakan salah seorang daripada empat wanita dalam pasukan konstabel khas dan salah satu tanggungjawab mereka adalah memantau pelajar sekolah dipercayai kumpulan gangster yang tidak terkawal di sebuah sekolah.

"Mereka sangat nakal dan bergaduh sesama mereka sepanjang masa. Sebagai contoh, apabila mereka diberi makan, mereka akan membaling mangkuk itu ke lantai.

Artikel Berkaitan:

"Ada kalanya pelajar ini lari bersembunyi di dalam hutan dan saya akan keluar dan bawa mereka kembali ke sekolah,"katanya.

Tambahnya, untuk menjana pendapatan yang lebih, dia akan menawarkan perkhidmatan dobi dan menggilap kasut kepada rakan sekerjanya dalam pasukan itu.

Kim Choo bagaimanapun bekerja sebagai konstabel khas selama kira-kira enam tahun dan meninggalkan perkhidmatan itu pada tahun 1960.

Selain itu, dia juga bekerja sebagai pembantu rumah di sebuah rumah yang dimiliki oleh keluarga British dan atas kegigihannya itu, kelima-lima anak dan 12 cucunya berjaya menamatkan pengajian.

Cucu bongsunya, Ooi Yeong Boon, 35, berkata, Kim Choo menjaga semua cucunya dan mereka sangat rapat dengannya.

Menurut Yeong Boon, neneknya tinggal bersama anak perempuannya yang berusia 82 tahun, Yeoh Saw Gaik dan cucu di Pulau Pinang.

"Nenek saya masih memasak untuk keluarga dan aktif di rumah,"kongsinya.

Sementara itu, Lam Thye turut memuji semangat dan sumbangan Kim Choo kepada Malaysia yang disifatkan sebagai khazanah negara.

"Saya sangat kagum dengan kerjayanya. Semua rakyat Malaysia patut berbangga dengannya.

"Beliau adalah contoh patriotisme yang kuat orang Cina Malaysia kepada negara ini," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!