Himpunan Palestin: Amanah anjur Jumaat, Pas sasar 100,000 hadir pada Sabtu

Amanah dan Pas anjur Himpunan Solidariti Palestin yang akan berlangsung pada hari berasingan di Kedutaan AS.
Amanah dan Pas anjur Himpunan Solidariti Palestin yang akan berlangsung pada hari berasingan di Kedutaan AS.
A
A
A

SHAH ALAM - Parti Amanah Negara (Amanah) dan Pas menganjurkan Himpunan Solidariti Palestin yang akan berlangsung pada hari berasingan di Kedutaan Amerika Syarikat (AS).

Amanah menerusi perkongsian Pengarah Biro Mobilisasinya, Abbas Azmi di Facebook berkata, program Himpunan Mega Rakyat Malaysia Bangkit Free Palestin akan diadakan pada Jumaat sebagai tanda sokongan dan kebersamaan atas perjuangan membebaskan bumi Palestin.

Ujar Abbas, acara yang berlangsung selepas solat Jumaat itu, akan bermula di Menara Tabung Haji, Kuala Lumpur sebelum peserta akan berarak beramai-ramai ke Kedutaan AS.

Sementara itu, Pas melalui hantaran Sekretariat Himpunan 1 Tahun Taufan Aqsa di platform X berkata, pihaknya pula menyasarkan kehadiran 100,000 orang yang bakal datang dan berhimpun di Kedutaan AS pada Sabtu.

Menurut ketua sekretariatnya, Khairul Nadzir Helmi Azhar, semua peserta akan berkumpul di Masjid Menara Berkembar Petronas (KLCC) terlebih dahulu sebelum akan bergerak ke Kedutaan US bersama-sama.

Selain itu, Ketua Penerangan Badan Perhubungan Pas Terengganu, Dr Muhammad Khalil Abdul Hadi dalam kenyataan di Facebook pada Rabu berkata, penganjuran program itu juga bertujuan bagi memperingati operasi Taufan al-Aqsa yang telah genap setahun dan membuka mata semua pihak tentang kekejaman rejim Zionis.

“Selama satu tahun ini, dunia luar dapat melihat satu krisis kemanusiaan yang paling buruk pada abad ini.

“Justeru, saya menyeru kepada seluruh rakyat yang cintakan keamanan untuk hadir ke Himpunan 1 Tahun Taufan Aqsa,” ujarnya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pesuruhjaya Pas Negeri Melaka, Zulkifli Ismail berkata, rakyat perlu menunjukkan kesatuan tanpa mengira perbezaan parti politik atau agama apabila melibatkan isu Palestin.

“Keganasan rejim Zionis terhadap Palestin dan membunuh pemimpin negara umat Islam adalah tindakan melampau yang perlu dizahirkan sikap ummah yang sebenar terutamanya umat Islam,” menurutnya.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!