Kereta suami isteri terbakar bersama 30 tandan sawit curi

Kereta Proton Iriz dinaiki pasangan suami isteri yang terbakar di Kampung Bukit Kepok Merlimau pada Khamis lalu.
Kereta Proton Iriz dinaiki pasangan suami isteri yang terbakar di Kampung Bukit Kepok Merlimau pada Khamis lalu.
A
A
A

JASIN - [DIKEMAS KINI] Sepasang suami isteri bukan sahaja tidak sempat merasa hasil 30 tandan sawit yang disyaki dicuri malah mengalami kerugian selepas kereta Proton Iriz dinaiki mereka terbakar di Kampung Bukit Kepok Merlimau, di sini, pada Khamis, lalu.

Dalam kejadian jam 5.05 petang itu, suspek masing-masing berusia 25 dan 26 tahun itu ditahan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Jasin ketika hadir di balai berkenaan selepas insiden yang mengakibatkan keseluruhan kenderaan itu musnah terbakar.

Ketua Polis Daerah Jasin, Deputi Superintenden, Ahmad Jamil Radzi berkata, kereta pasangan suami isteri itu terbakar selepas terbabas akibat membawa lebihan muatan kelapa sawit yang dipercayai dicuri berdasarkan penemuan sebilah sabit berhulu besi berukuran panjang kira-kira 3.6 meter.

Menurutnya, berdasarkan aduan seorang anggota polis bantuan berusia 47 tahun terdapat kesan pokok sawit dipotong sebanyak 21 pokok dan anggaran sebanyak 30 tandan buah bernilai RM500.

Katanya, hasil siasatan lanjut mendapati suspek disyaki telah melarikan tandan sawit itu di ladang milik syarikat Sd Guthrie Ladang Merlimau Devision di sini sebelum kenderaan yang dinaiki mereka terbakar.

"Berdasarkan maklumat pengadu dia mendapati di lereng sempadan terdapat kesan yang mencurigakan.

"Dia kemudian membuat pemeriksaan dalam parit sempadan terdapat biji sawit lerai namun tidak terdapat tandan sawit sebelum membuat laporan polis," katanya dalam satu kenyataan di sini pada Rabu.

Tambahnya hasil semakan mendapati suspek lelaki berusia 26 tahun itu mempunyai lima kes rekod lampau berkaitan jenayah dan satu kes narkotik manakala isterinya turut mempunyai dua kes rekod lampau masing-masing jenayah dan narkotik.

Artikel Berkaitan:

"Suspek kini direman masing-masing empat hari bagi suspek lelaki dan tiga hari bagi suspek wanita bermula Rabu mengikut Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah (KTJ)," katanya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!