24 tahun Shah Alam terus cemerlang

Tanggal 10 Oktober tarikh keramat Shah Alam dinaik taraf sebagai bandar raya pada 24 tahun lalu.
Tanggal 10 Oktober tarikh keramat Shah Alam dinaik taraf sebagai bandar raya pada 24 tahun lalu.
A
A
A

SHAH ALAM - Tanggal 10 Oktober sentiasa diingati oleh seluruh warga Shah Alam dan warga kerja Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) kerana ia merupakan tarikh keramat Shah Alam dinaik taraf sebagai bandar raya pada 24 tahun lalu.

Datuk Bandar Shah Alam, Datuk Mohd Fauzi Mohd Yatim berkata, saban tahun, dapat dilihat pembangunan, kemudahan dan infrastruktur baharu yang disediakan di Shah Alam untuk memudahkan urusan dan aktiviti harian khususnya untuk warganya.

Menurutnya, bermula pada tahun 2023, MBSA telah melaksanakan Program Rejuvenasi Bandar Raya Shah Alam iaitu projek pengindahan semula landskap di pusat bandar Shah Alam.

“MBSA juga telah melaksanakan pelbagai projek untuk memberikan kemudahan kepada warga Shah Alam seperti menaiktaraf sistem saliran untuk projek tebatan banjir di Seksyen 25,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohd Fauzi berkata, MBSA juga menaiktaraf sebahagian dewan di bawah seliaannya, membina lima unit perhentian bas di laluan bas henti sekitar kawasan Shah Alam, membaik pulih dua unit gelanggang rekreasi di Taman Permainan Seksyen 24 dan sebagainya.

Mohd Fauzi Mohd Yatim
Mohd Fauzi Mohd Yatim

“Dengan impian merealisasikan Matlamat Pembangunan Mampan, penglibatan dan penyertaan seluruh komuniti Shah Alam dalam bersama-sama mencapai matlamat ini adalah tidak mustahil.

Artikel Berkaitan:

“Matlamat ini perlu dilaksanakan secara holistik dan komprehensif dengan sokongan padu dan kerjasama komuniti Shah Alam.

“Saya ingin mengucapkan syabas dan tahniah kepada seluruh warga Shah Alam yang banyak membantu, memberikan kerjasama dan komited dalam memastikan bandar Shah Alam sentiasa keterhadapan,” kata Mohd Fauzi.

Beliau berkata, sebagai menghargai warga Shah Alam dan sempena dengan Sambutan Ulang Tahun Bandar Raya Shah Alam Kali Ke-24 Tahun, pelbagai aktiviti dan promosi yang dilaksanakan bertujuan mendekatkan pihak MBSA dengan warga Shah Alam.

Menurutnya, antara program yang akan dilaksanakan ialah Program Isi Minyak Motosikal Percuma pada 10 Oktober 2024 di Petronas Kota Kemuning, Seksyen 31.

Sementara itu, Mohd Fauzi berkata, MBSA juga menganjurkan Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan, Larian Hari Bandar Raya sempena Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan serta Hari Mesra MBSAdi Dataran Kemerdekaan Shah Alam pada 13 Oktober depan.

“MBSA juga menganjurkan Bicara Ilmuan dan Shah Alam Berselawat pada 19 Oktober di Pusat Konvensyen Shah Alam, Seksyen 13 dan Treasure Hunt Madani @ Shah Alam pada 26 Oktober di Dataran Kemerdekaan Shah Alam,” katanya.

Menariknya, MBSA juga mengadakan Shah Alam Art Fiesta pada 26 Oktober di Laman Budaya, Taman Tasik Shah Alam dan Pertandingan Memancing Shah Alam pada 27 Oktober 2024 di Taman Tasik Shah Alam.

“MBSA juga turut menawarkan beberapa insentif untuk dikongsi bersama masyarakat bermula pada 1 hingga 31 Oktober nanti.

"Kempen pengurangan kompaun sebanyak 75 peratus terhadap kompaun terpilih dan RM20 terhadap kompaun kesalahan di bawah Perintah Pengangkutan Jalan MBSA 2007,” katanya.

Beliau berkata, keahlian percuma sepanjang bulan Oktober juga diberikan kepada mereka yang ingin menjadi ahli perpustakaan yang disediakan oleh MBSA.

“Insentif dan program yang disediakan ini adalah untuk menghargai warga Shah Alam yang telah bersama-sama menjadikan Shah Alam sebagai bandar raya yang hebat.

“Terima kasih kepada warga Shah Alam kerana setia menyokong dan menjadikan Shah Alam bandar raya pilihan untuk didiami,” kata Mohd Fauzi.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!