RUU berkenaan kewarganegaraan dibahas, diputuskan pada sidang Parlimen
SHAH ALAM - Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan kewarganegaraan akan dibahas dan diputuskan dalam sidang Parlimen bermula 14 Oktober ini.
Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, komitmen telah diberikan bahawa cadangan pindaan tersebut telah dikaji dengan teliti dan cermat agar keluhuran perlembagaan terjaga dan keselamatan di dalam negeri tidak dikompromi.
"Cetusan pindaan ini bermula dengan kejanggalan di dalam kes permohonan warganegara Malaysia buat anak yang dilahirkan di luar negara.
"Setelah itu, saya bersama team Kementerian Dalam Negeri telah berbincang untuk meminda beberapa peruntukan lain di dalam Perlembagaan Persekutuan yang berkaitan kewarganegaraan kerana setelah beberapa dekad isu kewarganegaraan ini juga berubah secara dinamik dan kompleks," katanya menerusi hantaran di Facebook pada Rabu.
Sehubungan itu katanya, bagi memudahkan pemahaman, pihaknya akan ringkaskan beberapa fakta penting yang membawa kepada RUU Perlembagaan (Pindaan) 2024 berkenaan Kewarganegaraan itu agar orang ramai dapat mengikuti perbahasan di Parlimen dengan lebih inklusif.
"Saya akan terus terus kongsikan maklumat dan penerangan penting di hantaran saya yang akan datang, Insya-ALLAH," katanya.
Pada 21 Disember 2022, Sinar Harian menerusi Laporan Khas bertajuk 'Apa dosa kami' mendedahkan hampir 6,000 ibu warga Malaysia yang mempunyai anak tidak sah taraf kewarganegaraan berharap agar Kerajaan Perpaduan yang baru dibentuk ketika itu dapat meminda Perkara 14(1)b) Perlembagaan Persekutuan.
la selaras dengan manifesto dua parti yang menganggotai gabungan berkenaan iaitu Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Umum ke-15 yang lalu.
Pindaan Perlembagaan itu penting agar anak-anak berkenaan yang kini menetap di dalam negara bersama keluarga mereka tidak diusir keluar dari Malaysia apabila mencecah usia 21 tahun.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!