Bersatu pertikai sambutan meriah kunjungan 2 kapal latihan China
SHAH ALAM - Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) mempertikai sambutan meriah yang diberikan ketika kunjungan dua kapal latihan dari China ke Pelabuhan Pulau Pinang Sabtu lalu sehingga dibawa ke sekolah.
Pengerusi Biro Antarabangsa Bersatu, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, sebelum ini Malaysia pernah mengizinkan kapal-kapal tentera laut asing berlabuh di beberapa pelabuhan negara bertujuan untuk mendapatkan bekalan makanan dan sebagainya.
Menurutnya, perkara tersebut berkait rapat dengan keselamatan, kedaulatan dan jati diri negara ini serta kerajaan masih belum memberi penyelesaian tuntas mengenai kemasukan warga itu yang sebahagiannya tidak dapat dikesan.
"Adakah Kementerian Luar Negeri (KLN) dirujuk terlebih dahulu? Adakah ini keputusan Kementerian Pertahanan (Mindef)?
"Mengapakah mereka diberikan sambutan yang begitu hangat dan meriah? Mengapakah mereka diizinkan melawat ke sekolah? Mengapa sekolah itu yang dipilih," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.
Sebelum ini, Kerajaan Pulau Pinang mengumumkan kedatangan 1,000 pelatih tentera laut China ke negeri ini untuk kunjungan silaturahim.
Pasukan tugas ke-83 Tentera Pembebasan Rakyat China (PLA) itu menaiki dua buah kapal iaitu Kapal Latihan Qi Jiguang dan Kapal JinggangShan dari Zhanjiang, China.
Kedatangan mereka disambut beberapa pegawai TLDM Pulau Pinang dan beberapa orang kenamaan termasuk pemimpin negeri. Pelatih-pelatih itu dibawa melawat beberapa tempat menarik di negeri tersebut selain berkesempatan berinteraksi dengan penduduk tempatan ketika sesi lawatan.
Tambah Saifuddin yang juga Ahli Parlimen Indera Mahkota, kerajaan perlu lebih sensitif dan peka terhadap perasaan rakyat tatkala sering dilaporkan media mengenai pencerobohan aset-aset China di dalam perairan negara berhampiran Sabah dan Sarawak.
Ujarnya, ia termasuk protes yang diterima oleh Petroliam Nasional Bhd (Petronas) berkaitan kerja-kerjanya di Kasawari.
"Saya harap Mindef, kerajaan negeri Pulau Pinang dan Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) memberikan penjelasan akan perkara ini," katanya.
Sementara itu, beliau berkata, terdapat protokol atau peraturan lazim digunakan negara-negara di dunia, termasuk apabila kapal TLDM berlabuh di pelabuhan negara asing.
"Pegawai dan anggotanya diizinkan mendarat, pasportnya dicop dan sebagainya.
"Antara kapal tentera laut yang pernah berlabuh di sini ialah dari negara Malaysia terlibat dalam perjanjian contohnya Five Power Defence Arrangements iaitu dengan Singapura, Australia, New Zealand dan United Kingdom serta ketika ada latihan ketenteraan tertentu. Kapal tentera laut China juga pernah berlabuh di sini," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!