Pesara tentera ditemui mati dalam kereta
MELAKA - Seorang pesara tentera sempat menghubungi keluarganya kira-kira lapan jam sebelum ditemukan tidak bernyawa dalam kereta di hadapan sebuah klinik swasta di Cheng di sini pada Selasa.
Dalam kejadian jam 7.04 malam itu, mangsa, Mohd Hisyam Omar, 50, yang beralamat di Taman Desa Taming Sari Sungai Udang di sini, ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta jenis Perodua Viva yang dipandunya.
Ketua Polis Daerah Melaka Tengah, Asisten Komisioner Christopher Patit berkata, hasil temu bual dengan waris keluarga memaklumkan mangsa ada menghubungi mereka dan memberitahu berasa hendak pitam ketika berada di Lebuh SPA berhampiran Taman Desa Bertam di sini kira-kira jam 10 pagi.
Menurutnya, kemudian anak mangsa telah menghubungi telefon bimbit bapanya namun sehingga jam 6 petang tiada sebarang jawapan sebelum dia hadir ke Balai Polis Sungai Udang.
"Anak mangsa memaklumkan keadaan bapanya tidak sihat dan membuat hebahan dari Balai Polis Sungai Udang.
"Kira-kira jam 7.30 petang, mangsa dimaklumkan ditemui di lokasi kejadian oleh orang awam dalam keadaan tidak sedarkan diri," katanya dalam satu kenyataan di sini, pada Rabu.
Tambah beliau, mangsa sebelum ini tidak mempunyai sejarah sakit dan pemeriksaan di lokasi kejadian juga mendapati tiada unsur jenayah malah barang-barang peribadi simati dalam keadaan baik.
"Mayat mangsa telah dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Melaka dan Pol 61 telah dikeluarkan bagi mengetahui punca kematian.
"Hasil bedah siasat mendapati punca kematian ialah serangan jantung dan kes diklafikasikan sebagai mati mengejut," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!