LBS serah kontrak EPCC bernilai RM104 juta kepada Solarvest

Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian EPCC di antara Suria Hijauan Sdn Bhd dan Solarvest Holdings Bhd.
Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof (tengah) menyaksikan majlis menandatangani perjanjian EPCC di antara Suria Hijauan Sdn Bhd dan Solarvest Holdings Bhd.
A
A
A
SHAH ALAM - Pemaju hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS) menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan, dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM104 juta kepada pakar tenaga bersih serantau, Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) untuk membina projek ladang solar berkapasiti 43 MWp.

Majlis menandatangani penganugerahan kontrak itu disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Sumber Asli, semasa Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau & Produk Eko Malaysia (IGEM), hari ini.

Projek ini menandakan kemasukan strategik LBS ke dalam sektor tenaga boleh diperbaharui di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP).

Ladang solar yang akan dibina di Senawang, Negeri Sembilan, dijangka akan siap menjelang akhir tahun 2025. Setelah pentauliahan, ia dijangkakan dapat menghasilkan kira-kira 53,000 MWh tenaga bersih setiap tahun sekaligus mengurangkan sekitar 35,000 tan pelepasan karbon dioksida.

Ladang solar ini juga dijangka akan menyumbang sekitar 53,000 Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (RECs) kepada pasaran, membantu pengguna korporat mencapai matlamat kelestarian mereka.

Penglibatan strategik LBS dalam sektor tenaga boleh diperbaharui sebagai komitmennya terhadap kelestarian dalam pembangunan perniagaan. Inisiatif ini bukan sahaja selaras dengan matlamat persekitaran LBS Bina, tetapi juga melengkapi teras perniagaannya dalam pembangunan hartanah dengan memperkaya tawaran produknya di masa hadapan dengan penyelesaian tenaga boleh diperbaharui.

Dengan membangunkan projek tenaga boleh diperbaharui di bawah CGPP, LBS akan mencipta aliran pendapatan baru yang berulang setelah ladang solar beroperasi dengan meningkatkan pendapatan dalam jangka panjang.

Ladang solar ini dipunyai oleh Suria Hijauan Sdn Bhd yang merupakan konsortium yang terdiri daripada Setara Armada Sdn Bhd, MWG Solar Energy Sdn Bhd dan Ocean Solar Energy Sdn Bhd. Setara Armada merupakan anak syarikat milik penuh LBS.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Tan Sri Ir. (Dr.) Lim Hock San, berkata, sebagai syarikat yang komited terhadap ESG, pihaknya sentiasa menunjukkan dedikasi terhadap kelestarian.
Artikel Berkaitan:


“Hari ini menandakan satu pencapaian penting apabila kami meraikan penganugerahan kontrak EPCC kepada Solarvest melalui anak syarikatnya, Atlantic Blue Sdn Bhd, sebuah syarikat yang terkenal dengan penyampaian projek berkualiti tinggi, penyiapan projek mengikut jadual dan bajet.

“Kepakaran mereka memberikan keyakinan dalam pembinaan kami, meningkatkan kredibiliti projek solar kami dan mewujudkan persekitaran kolaboratif dalam mencipta penyelesaian inovatif. Kami optimis bahawa kerjasama ini akan membantu kami mencapai matlamat projek dan memajukan objektif kelestarian kami,”katanya.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong, berkata, sebagai pemain industri tenaga bersih, pihaknya teruja dengan peningkatan kesedaran ESG dalam kalangan korporat dan matlamat kelestarian mereka.

“CGPP menawarkan platform yang bernilai tinggi bagi pengeluar tenaga bebas seperti LBS dan kami untuk menyumbang kepada pembangunan infrastruktur tenaga boleh diperbaharui. Solarvest berbesar hati dilantik oleh LBS, salah satu pemaju hartanah terkemuka di Malaysia, untuk menyediakan perkhidmatan EPCC bagi pembangunan ladang solar mereka.

“Projek ini menonjolkan keupayaan kami untuk melaksanakan projek solar yang kompleks, walaupun dalam keadaan yang mencabar seperti landskap berbukit di tapak. Dengan pendekatan inovatif dan perancangan projek yang terperinci, kami yakin bahawa kerja tanah asas sudah disiapkan untuk diteruskan dengan fasa pembinaan seterusnya,”katanya.

Sehingga September 2024, buku pesanan EPCC Solarvest berjumlah RM582 juta. Kumpulan ini juga secara aktif mengejar peluang EPCC tambahan di bawah CGPP, dengan kapasiti sasaran sekitar 380 MWp, yang mewakili anggaran nilai projek sebanyak RM800 juta.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!