LEKAS ditutup Sabtu, Ahad ini sempena ‘highway ride’

Poster hebahan yang dikeluarkan LEKAS mengenai penutupan sementara lebuh raya itu bagi membuka laluan untuk acara 'RHB LEKAS Highway Ride 2024’.
Poster hebahan yang dikeluarkan LEKAS mengenai penutupan sementara lebuh raya itu bagi membuka laluan untuk acara 'RHB LEKAS Highway Ride 2024’.
A
A
A

SHAH ALAM - Keseluruhan Lebuhraya Kajang-Seremban Sdn Bhd (LEKAS) akan ditutup sementara kepada orang awam dari jam 5 petang Sabtu ini hingga jam 4 pagi keesokannya (Ahad) sempena acara berbasikal tahunan syarikat itu, ‘RHB LEKAS Highway Ride 2024’ (Edisi Ke-9).

Ketua Pegawai Eksekutif LEKAS, Wan Salwani Wan Yusoff berkata, pihaknya menjangkakan akan kehilangan 70,000 trafik sepanjang tempoh penutupan jalan itu dilaksanakan.

“Sebanyak sembilan persimpangan yang melibatkan 20 jalan susur keluar-masuk akan ditutup bagi memastikan kelancaran dan keselamatan para peserta.

“Penutupan jalan akan bermula dari Persimpangan Kajang Selatan hingga ke Persimpangan Paroi.

"Kami ingin merakamkan penghargaan serta mengucapkan terima kasih kepada pihak PDRM atas kerjasama dan sokongan mereka dengan menyediakan pegawai-pegawai daripada Kajang, Semenyih, Nilai, Mantin dan Seremban bagi membantu semasa penutupan jalan ini," katanya dalam satu kenyataan pada Rabu.

Peta laluan alternatif turut disediakan LEKAS untuk rujukan pengguna.
Peta laluan alternatif turut disediakan LEKAS untuk rujukan pengguna.

Wan Salwani menjelaskan, LEKAS juga telah mendapat kelulusan daripada pelbagai pihak iaitu Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) untuk penaja Lokasi dan kelulusan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk Pelan Pengurusan Lalulintas bagi penutupan jalan sepanjang acara berbasikal tersebut berlangsung.

Menurutnya, LEKAS turut mendapat kelulusan Pesuruhjaya Sukan Malaysia untuk menganjurkan acara berbasikal terbabit.

Artikel Berkaitan:

“Seramai 6,500 peserta akan terlibat dalam acara berbasikal ini yang merupakan kali ke-9 penganjurannya,” ujarnya.

Wan Salwani menambah, beberapa laluan alternatif telah dikenal pasti untuk kegunaan pengguna lebuh raya sewaktu penutupan Lebuhraya LEKAS dilaksanakan.

Kata beliau, pengguna dari arah utara (Kuala Lumpur, Cheras, Kajang) dan arah selatan (Seremban, Senawang dan Kuala Pilah) dinasihatkan agar menggunakan Jalan Persekutuan 1 atau Lebuhraya PLUS untuk ke destinasi mereka.

“Peta laluan alternatif ini disertakan di lampiran untuk rujukan. Pengguna lebuhraya dinasihatkan supaya mematuhi semua peraturan keselamatan lalu lintas semasa penutupan jalan.

“Pihak LEKAS ingin memohon maaf di atas segala kesulitan yang dihadapi oleh para pengguna Lebuhraya,” katanya.

Untuk mendapatkan maklumat lanjut dan bantuan mengenai penutupan sementara berkenaan, pengguna lebuh raya boleh merujuk laman media sosial LEKAS iaitu LEKAStrafik di aplikasi X, LEKAS Highway (Facebook Page), lekashighway (Instagram) atau boleh menghubungi Talian Infoline 1 800 88 8021.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!