Teknologi AI fokus utama dalam usaha lancarkan aliran trafik

Aplikasi MyPLUS-TTA turut menggunakan teknologi AI yang mampu memberikan cadangan waktu terbaik untuk pengguna memulakan perjalanan berdasarkan data-data Sejarah trafik yang terkumpul.
Aplikasi MyPLUS-TTA turut menggunakan teknologi AI yang mampu memberikan cadangan waktu terbaik untuk pengguna memulakan perjalanan berdasarkan data-data Sejarah trafik yang terkumpul.
A
A
A

SHAH ALAM - Inisiatif melebarkan lebuh raya bagi mengurangkan kesesakan trafik bukan satu cadangan yang kos-efektif memandangkan ianya masalah bermusim. Sebaliknya harus mencari kaedah lain seperti memanfaatkan kecanggihan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI).

Ketua Pengarah Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM), Datuk Ir Sazali Harun berkata, masalah kesesakan di Lebuhraya musim cuti memerlukan kerjasama dan penglibatan semua pihak termasuk pengguna bagi menyelesaikan sesuatu isu tanpa melibatkan kos yang tinggi.

"Kalau nak melebarkan (jalan), kosnya sangat tinggi serta mengambil masa yang agak panjang sedangkan kesesakan cuma berlaku pada musim perayaan jadi kos dan kelebihan untuk kita laksanakannya bukan suatu tindakan yang kos efektif. Kita perlu lihat dari segi teknologi seperti AI.

"Sebenarnya PLUS Malaysia Berhad (PLUS) ada aplikasi MyPLUS-TTA yang menggunakan teknologi AI. Jadi ketika musim perayaan, kita masukkan lokasi asal, destinasi dan tarikh bila nak gerak, maka aplikasi ini akan memberi cadangan waktu terbaik untuk mulakan perjalanan berdasarkan data sejarah (historical data) trafik bagi jajaran tersebut”.

"Lebih banyak data, lebih bagus dan lebih tepat enjin AI memberikan ‘cadangannya’. Pihak LLM sentiasa melakukan kajian termasuk mempelajari pengalaman negara lain dalam penggunaan teknologi itu bagi membangunkan aplikasi yang bukan sahaja memberikan cadangan, malah berkaitan navigasi dan maklumat semasa," katanya.

SAZALI
SAZALI

Beliau berkata demikian ketika menjadi panel Wacana Sinar edisi 459 bertajuk Kesesakan lebuh raya musim cuti: Apa penyelesaiannya? yang disiarkan secara langsung di semua platform Sinar Harian pada Selasa.

Artikel Berkaitan:

Program itu dikendalikan Dr Noor Nirwandy Mat Noordin sebagai moderator dan turut disertai dua panelis lain iaitu Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan dan Pengasas/Pengarang Electronikar, Shamsul Yunos.

Mengulas lanjut mengenai teknologi AI, Sazali berkata, pemahaman mengenai AI ini adalah menerusi penggunaan ChatGPT di mana ia memang menunjukkan potensi luar biasa dan memerlukan kaedah terbaik untuk memanfaatkannya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan, antara inisiatif lain yang telah dilaksnakan adalah mewujudkan Smart Lane.

"Inisiatif ini tidak memerlukan kos kerana kita manfaatkan lorong kecemasan yang digunakan kenderaan kecemasan. Tetapi apabila berlaku peningkatan trafik, kita benarkan untuk kenderaan lain untuk lalu di laluan tersebut.

"Pada mulanya memang ada halangan, mungkin orang skeptikal tentang penggunaannya seperti akan menyebabkan ambulan atau bomba lambat untuk tiba di tempat kejadian, tapi kita tahu kenderaan ini ada siren dan sebagainya.

"Jadi, tiada masalah akan timbul sebab di Kuala Lumpur pun kenderaan kecemasan ini diberi laluan oleh kenderaan lain termasuk dalam trafik sesak," ujarnya.

LLM perlu tingkatkan penyampaian maklumat berkait MyPLUS-TTA

Sementara itu, LLM diminta memperluaskan penyampaian mesej atau maklumat mengenai penggunaan aplikasi MyPLUS-TTA supaya terus dimanfaatkan pengguna bagi mengurangkan kesesakan trafik.

LLM juga diminta untuk mewar-warkan secara meluas paparan keadaan lalulintas di Lebuhraya secara realtime melalui CCTV LLM di pautan www.llm.gov.my supaya dimanfaatkan oleh semua pengguna lebuh raya terutama di musim cuti.

Pengasas atau Pengarang Electronikar, Shamsul Yunos berkata, tidak dapat dinafikan inisiatif tersebut mendapat sambutan daripada pengguna jalan raya terutamanya apabila tiba musim perayaan atau cuti panjang.

 SHAMSUL
 SHAMSUL

Bagaimanapun, menurutnya, lama-kelamaan aplikasi itu semakin diabaikan mungkin atas faktor sudah dilupakan.

“Jadi, perlu ada lebih banyak promosi untuk mengingatkan pengguna lebuh raya untuk mengikuti cadangan atau nasihat yang diberikan PLUS Malaysia Berhad (PLUS) tentang masa perjalanan.

"Semakin banyak anda kongsi maklumat, semakin ramai orang faham. Kita tengok dulu sewaktu sekolah setiap minggu diulang minggu keselamatan jalan raya, saya rasa benda ini kena ulang dan tak boleh leka. Tiap tahun perlu ada penyampaian info yang jelas.

"Mungkin tahun ini ada inovasi baru yang boleh membantu. Sebenarnya kita mahukan maklumat yang jitu, jadi kalau ada data ikut MyPLUS-TTA, pengguna boleh kurang (tempoh perjalanan) sebanyak mungkin," katanya.

Dalam pada itu, Shamsul berkata, cadangan Ahmad untuk melebarkan enam lorong ke Bukit Kayu Hitam adalah impian yang cukup besar.

Bagaimanapun, ujarnya, mungkin ada sedikit perubahan dalam idea berkenaan iaitu meningkatkan tarikan di luar lebuh raya dengan menggabungkan teknologi AI seperti sistem trafik pintar yang dapat memberi maklumat tentang laluan kurang sesak.

"Jika ada daya tarikan di kawasan tertentu seperti Nasi Bamboo Sungai Klah Sungkai dapat ditingkatkan, kita boleh menyelesaikan masalah masa terbuang kepada masa terluang dengan menggalakkan pengguna berhenti makan atau melawat tempat menarik di sepanjang laluan mereka.

"Tingkatkan daya tarikan dan perbaiki laluan utama serta sedikit pelebaran jalan, kita juga boleh memberi peluang untuk merangsang aktiviti ekonomi di pekan kecil terlibat," jelasnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!