Pasangan kekasih dalang sindiket kek, biskut ganja ditahan

Raub (tengah) menunjukkan biskut ganja yang dirampas dalam serbuan di kondominium di bandar raya Johor Bahru.
Raub (tengah) menunjukkan biskut ganja yang dirampas dalam serbuan di kondominium di bandar raya Johor Bahru.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis menumpaskan sindiket memproses kek dan biskut ganja yang didalangi pasangan kekasih hasil lima serbuan berasingan di bandar raya ini, pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Raub Selamat berkata, sindiket juga menghasilkan minyak ganja yang diisikan dalam botol plastik 500 milimeter.

Menurut beliau, lima serbuan dilakukan bermula Isnin sehingga Rabu melibatkan tiga sindiket dan semuanya beroperasi di kondominium berpagar dan berpengawal.

Antara ganja yang dirampas dalam serbuan di kondominium di bandar raya Johor Bahru.
Antara ganja yang dirampas dalam serbuan di kondominium di bandar raya Johor Bahru.

“Lima serbuan itu dilakukan di kondominium di Majidee dan Danga Bay. Kita menahan empat lelaki warga tempatan, seorang wanita tempatan dan seorang wanita warganegara asing.

“Tangkapan tersebut termasuk dalang sindiket terbabit iaitu pasangan kekasih iaitu lelaki tempatan berusia 33 tahun dan wanita warga asing berusia 35 tahun,” katanya pada sidang akhbar di ibu Pejabat Polis Daerah Johor Bahru Selatan di Larkin di sini, pada Rabu.

Beliau memberitahu, kesemua suspek yang ditahan berusia 26 hingga 35 tahun dan hasil ujian saringan air kencing mendapati tiga lelaki tempatan dan wanita asing tersebut positif dadah jenis tetrahydrocannabinol.

Artikel Berkaitan:

"Tiga suspek lelaki tempatan serta seorang wanita asing berkenaan mempunyai rekod jenayah lampau berkaitan jenayah dan dadah.

"Kek dan biskut ganja ini dipercayai dihasilkan sebagai penyelidikan dan pembangunan (R&D) untuk kegunaan sendiri ahli sindiket terlebih dahulu, sebelum dipasarkan," ujarnya.

Raub menunjukkan pokok ganja yang dirampas hasil serbuan yang dilakukan.
Raub menunjukkan pokok ganja yang dirampas hasil serbuan yang dilakukan.

Dalam lima serbuan ini, pihak polis merampas sebatang pokok ganja berukuran 140 sentimeter, lebih 25.9 kilogram ganja, biskut disyaki ganja (265 gram), empat ketul disyaki kek ganja, heroin (2,252 gram) 500 ml minyak ganja dan Ketamin (0.50 gram).

"Polis turut menyita wang tunai pelbagai negara termasuk Thailand, India dan United States dan sejumlah barang kemas," katanya.

Raub memberitahu, rampasan dadah tersebut bernilai RM102,150 dan boleh digunakan 28,252 penagih sekiranya terlepas ke pasaran.

Selain itu, polis turut menyita antaranya kereta jenis Perodua Myvi, Toyota Vios dan Toyota Vellfire selain sebuah motosikal Yamaha 135LC, wang tunai pelbagai negara dan beberapa barang kemas.

Jelas beliau, jumlah keseluruhan nilai rampasan dadah dan sitaan bagi lima serbuan tersebut adalah RM326,150.

“Modus operandi kegiatan sindikit ini ialah menjadikan kondominium dan kenderaan sebagai tempat pembungkusan dan penyimpanan dadah sebelum diedarkan ke pasaran tempatan. Mereka dipercayai sudah beroperasi sejak September 2024.

“Kita tidak menolak kemungkinan tiga sindiket ini mempunyai kaitan atau sindiket yang sama. Semua suspek direman selama tujuh hari bermula Selasa sehingga 14 Oktober ini.

"Siasatan dilakukan bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952, jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman mati atau penjara seumur hidup dan boleh juga dikenakan sebatan," ujarnya.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!