Dakwaan hapus Hutan Sungai Lembing sedang disiasat - Wan Rosdy

Laporan Sinar Harian. (Wan Rosdy)
Laporan Sinar Harian. (Wan Rosdy)
A
A
A

KUANTAN - Kerajaan Pahang sedang menyiasat dakwaan penghapusan Hutan Sungai Lembing selepas pendedahan dibuat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sungai Lembing, Mohamad Ayub Mat Ashri.

Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail menjelaskan, perkara tersebut telah diberi perhatian serius dan ia dalam tindakan pihak berkenaan.

"Saya fikir dalam masa terdekat, sama ada KSU (Ketua Setiausaha) atau Pengarah Perhutanan akan memberi kenyataan rasmi.

"Tunggu, mungkin ada perkembangan terkini kerana perkara ini telah dibincangkan dalam mesyuarat Exco," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas majlis perasmian Program Retreat Kepimpinan Masyarakat Orang Asli negeri di Hotel Grand Darul Makmur pada Rabu.

Terdahulu, Dewan Pemuda Pas Pahang menuntut penjelasan tuntas daripada kerajaan negeri berhubung dakwaan penjarahan Hutan Sungai Lembing.

Ketua Penerangannya, Ahmad Azlan Abu Bakar dilaporkan berkata, pihaknya khuatir berlaku bencana tidak diingini di negeri ini.

Pada Selasa, Sinar Harian melaporkan pendedahan yang dibuat Mohamad Ayub menerusi hantaran di Facebook miliknya, memohon penjelasan daripada kerajaan Pahang dan agensi berkaitan berhubung dakwaan terdapat penghapusan hutan di kawasan itu.

Artikel Berkaitan:

Penjelasan itu dibuat selepas beliau menerima surat edaran daripada agensi penguatkuasaan berhubung kegiatan itu di kawasan hutan berkenaan pada 27 September lalu.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!