Bomba selamatkan kucing di bawah jejambat setinggi 10m
KOTA KINABALU - Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lintas berjaya menyelamatkan seekor kucing yang berada di bawah jejambat Luyang yang berketinggian kira-kira 10 meter (m).
Operasi menyelamat haiwan tersebut dilakukan selepas pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 4.26 petang Rabu.
Menurut Ketua BBP Lintas, Agustivia Joe Guasi, seramai 11 anggota dikejar ke lokasi kejadian yang terletak sejauh enam kilometer.
"Sebaik tiba di lokasi, terdapat seekor kucing berada di bawah jejambat yang berketinggian kira-kira 10 meter dan pihak bomba bertindak menggunakan tangga jentera untuk menyelamatkan kucing tersebut.
"Operasi membawa turun kucing tersebut mengambil tempoh hampir setengah jam. Kucing itu kemudian diberikan kepada orang awam yang mahu menjadikannya sebagai haiwan peliharaan," katanya dalam kenyataan pada Rabu.
Agustivia berkata, operasi penyelamatan ditamatkan pada jam 5.06 petang selepas memastikan kucing tersebut dalam keadaan selamat.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!