Budak perempuan hilang ketika ambil makanan di kereta

Madrafataha berusia 12 tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Bukit Tinggi, Klang, pada Selasa.
Madrafataha berusia 12 tahun dilaporkan hilang dari rumahnya di Bukit Tinggi, Klang, pada Selasa.
A
A
A

KLANG - Seorang kanak-kanak perempuan berusia 12 tahun dilaporkan hilang selepas keluar dari rumahnya di Lorong Batu Nilam 1B, Bandar Bukit Tinggi 1, di sini, pada Selasa.

Ketua Polis Daerah Klang Selatan, Asisten Komisioner Cha Hoong Fong berkata, laporan kehilangan Madrafataha Indal Bangsawan dibuat ibunya pada jam 8.59 malam.

Katanya, dalam kejadian kira-kira jam 2.20 petang, ibu mangsa telah menyuruh anaknya itu untuk mengambil makanan di dalam kereta yang diparkir di bawah rumah flat terbabit.

"Mangsa yang turun seorang diri bagaimanapun tidak pulang.

"Kira-kira jam 3 petang, ibunya telah mencari di kawasan sekitar parkir kereta, namun anaknya tidak ditemui sebelum membuat laporan polis," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau berkata, Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Klang Selatan telah membuka satu kertas siasatan enkuiri polis orang hilang untuk siasatan lanjut.

Tambahnya, mangsa berbadan kurus, kulit cerah, ketinggian kira-kira 150 sentimeter dan rambut paras bahu dengan pakaian akhir kemeja-T sukan warna hijau serta seluar trek hitam.

"Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes ini diminta untuk salurkan terus kepada IPD Klang Selatan di talian 03-33762222 atau mana-mana balai polis berhampiran," ujarnya

Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!