Menteri Agama ucap takziah kepada keluarga Imam Nurul Kamal

Mohd Na'im (kiri), Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Rabu.
Mohd Na'im (kiri), Tangkap layar laporan Sinar Harian pada Rabu.
A
A
A

SHAH ALAM - Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na'im Mokhtar menzahirkan ucapan takziah kepada keluarga Allahyarham Nurul Kamal Zulkarnain, 37, yang maut dalam nahas di Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dekat Sitiawan pada Selasa.

Beliau berkata, arwah sangat komited dan berdedikasi dengan tugasan yang diamanahkan.

Poster yang dimuat naik Mohd Na'im di Facebook pada Rabu.
Poster yang dimuat naik Mohd Na'im di Facebook pada Rabu.

"Semoga ALLAH mengampuni dan merahmati Almarhum. Ditempatkan bersama sekalian hamba-Nya yang beriman, al-Fatihah," katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.

Sebelum ini media melaporkan, Allahyarham yang juga merupakan Guru Takmir di Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perak Tengah di Seri Iskandar meninggalkan isteri, Nur Firdaus Salwa Zamrin, 30, dan tiga cahaya mata termasuk seorang yang baru dilahirkan dua hari lalu.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, Allahyarham maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik ke kawasan ladang sawit di Kilometer 211.8 WCE dekat Sitiawan.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas melawat isterinya yang melahirkan cahaya mata ketiga mereka di Hospital Seri Manjung.

Jenazah Allahyarham selamat dikebumikan pada jam 2.30 petang Rabu dan antara ahli keluarga yang kelihatan hadir termasuklah bapanya, Zulkarnain Zainal Abidin, 66, dan saudara kembarnya, Nurul Anuar.

Artikel Berkaitan:

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!