Takiyuddin jawab dakwaan Dr Tajuddin Rasdi berkait naratif bahaya Pas

Takiyuddin (kiri), Kenyataan media Takiyuddin
Takiyuddin (kiri), Kenyataan media Takiyuddin
A
A
A

SAYA sempat membaca dengan penuh teliti dan minat suatu laporan di portal Malaysiakini bertajuk 'Academic: Pas dangerous for nation, Akmal 'kitten' in comparison', namun ia kemudiannya bertukar menjadi kecewa, terutama sekali berhubung tema dan rumusan yang cuba diketengahkan.

Rasa minat itu lahir kerana laporan tersebut melibatkan Pas secara langsung selain berkait isu-isu penting, termasuk masa depan negara, dari sudut pandang seorang ahli akademik yang agak ternama, iaitu Prof Dr Mohd Tajuddin Rasdi.

Rasa kecewa itu pula terbentuk kerana 'kedangkalan analisis dan rumusan' yang dibuat yang lebih menyerupai ruapan sentimen dan emosi seorang pentaasub serta pendakyah politik mentah yang kerap ditemui di media sosial khasnya.

Sebagai ahli akademik yang telah menghasilkan puluhan, malah ratusan buku dan makalah ilmiah yang menjadi rujukan bidang sepanjang kerjayanya, tentulah wajar dan munasabah untuk mengharapkan sesuatu yang lebih bermutu dan berwibawa daripada Dr Tajuddin, hatta dalam bidang yang bukan pengkhususannya.

Dalam kes semasa membabitkan pertelagahan antara Ketua Pemuda Umno YB Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh dengan Naib Presiden DAP YB Teresa Kok berkait polemik sijil halal Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Dr Tajuddin jelas mahu menyembunyikan kesan kemungkinan konflik tersebut terhadap keutuhan gabungan kerajaan PH-BN dengan memasukkan Pas sebagai 'ancaman lebih besar' ke dalam bingkai naratifnya berkenaan isu tersebut.

Langkah beliau untuk mengalihkan fokus daripada masalah sebenar yang dihadapi oleh gabungan kerajaan dengan menjadikan pihak lain yang tidak berkait sebagai 'kambing hitam' jelas menjerut dan memakan diri apabila konflik individu itu berkembang menjadi konflik antara UMNO dengan DAP, terutamanya selepas berakhirnya Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota sehingga melibatkan bukan sahaja pemimpin UMNO dan DAP yang lain, tetapi juga pemimpin parti-parti PH.

Sewaktu para penganalisis lain menyuarakan kebimbangan mengenai perkembangan tersebut dan ancamannya terhadap kestabilan kerajaan, Dr Tajuddin nampaknya lebih berminat untuk meneruskan falasi 'green wave' yang dicetuskan oleh bekas pemimpin DAP Tan Sri Lim Kit Siang untuk menakut-nakutkan pengundi bukan Melayu terhadap Pas sebelum ini, pada masa sama mengabaikan semua isu lain yang lebih besar dan penting bukan sahaja kepada rakyat, tetapi juga kesejahteraan negara.

Contoh-contoh yang diketengahkan oleh Dr Tajuddin bagi menyokong naratif 'bahaya Pas' itu juga amat lemah, remeh dan merupakan hujah basi yang tidak akan melepasi standard sebuah analisis berwibawa.

Artikel Berkaitan:

Selain gagal melihat konteks dan latar belakang setiap contoh yang dikemukakan secara adil dan objektif, beliau juga gagal melihat isu lebih besar dan penting di sebaliknya, terutamanya yang berkait langsung dengan isu-isu seperti kesejahteraan negara, demokrasi, kedaulatan undang-undang, keadilan, perpaduan rakyat, kedudukan Islam, keluhuran moral dan sebagainya.

Dengan memfokus kepada 'keceluparan' Dr Akmal yang menggelar Teresa sebagai 'nyonya tua', Dr Tajuddin seolah-olah mahu menenggelamkan 'keceluparan' awal pemimpin DAP itu berkait sijil halal Jakim yang bukan sahaja sangat jelas tersasarnya, tetapi juga sangat destruktif terhadap dasar kerajaan sendiri, selain menimbulkan suasana tegang dan tidak harmoni dalam masyarakat.

Jika mengikut logik 'kitten-tiger' beliau, tentulah Teresa lebih berpotensi menjadi 'tiger' yang berbahaya kepada negara, bukan Dr Akmal, dan tentu juga bukan Pas yang dari awal telah memperingatkan tentang kesan buruk yang mungkin timbul daripada kegagalan mengawal emosi dalam isu ini.

Dalam isu peniaga wanita di Kota Bharu yang dikompaun kerana berpakaian tidak senonoh, Dr Tajuddin menggunakan pula kenyataan Presiden Pas Tan Sri Abdul Hadi Awang yang disalah petik untuk memburukkan parti itu, tetapi mengabaikan kenyataan tersasar seorang menteri DAP, YB Nga Kor Ming, yang jelas membela pesalah dengan meminta pihak berkuasa tempatan menarik balik kompaun yang dikenakan, sekali gus mengabaikan undang-undang sah yang sedang berkuat kuasa.

Dengan berselindung di sebalik hujah palsu seperti hak kebebasan yang dijamin oleh perlembagaan negara, keharmonian kaum dan hak bukan Islam, menteri berkenaan bukan sahaja bertindak melampaui bidang tugasnya, tetapi seolah-olah mahu penguatkuasaan undang-undang dibuat secara berpilih-pilih mengikut kaum dan agama pula.

Sekali lagi, jika menggunakan logik 'kitten-tiger' yang sama, kenyataan manakah yang lebih berbahaya kepada negara dan rakyat? Kenyataan Presiden Pas yang disalah petik atau kenyataan menteri yang dilaporkan oleh hampir semua media utama negara?

Hal yang sama boleh dilihat dalam kes bacaan qunut Nazilah di Parlimen berkait tindakan penggantungan selama enam bulan ke atas Ahli Parlimen Machang, YB Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal. Jelas Dr Tajuddin mahu khalayak mengabaikan ketidakadilan dan penafian hak demokratik Ahli Parlimen berkenaan dengan membangkitkan isu lebih remeh yang bersifat emotif semata-mata untuk memburukkan Pas.

Dalam ketiga-tiga contoh ini, jelas bahawa Dr Tajuddin nampaknya lebih prihatin kepada isu-isu yang lebih remeh dan tidak signifikan hanya untuk memberi gambaran tidak elok tentang Pas, tetapi mengabaikan sama sekali isu-isu besar dan fundamental yang memberi kesan langsung ke atas teras-teras kehidupan bernegara seperti kedaulatan undang-undang, keadilan, hak demokratik rakyat dan sebagainya.

Justeru adalah lebih baik dan bermanfaat sekiranya Dr Tajuddin memfokus kepada analisis yang lebih berkait rapat dengan bidang pengkhususan ilmiahnya untuk kepentingan khalayak serta negara, bukannya menyimpang ke bidang-bidang lain yang menuntut kemahiran dan kepakaran yang berbeza kerana ia jelas menampakkan kedangkalan pandangannya.

Saya meminjam topik kecil dalam sebuah buku bertajuk '48 laws of Power' karangan Robert Green yang agak sesuai untuk menggambarkan tulisan Dr Tajudin ini, iaitu 'Know who you're dealing with, do not offend the wrong person' (Law 10) dan juga 'Concentrate your forces' (Law 25).

Namun begitu, saya turut merakamkan rasa simpati kepada Dr Tajuddin kerana hakikat bahawa secebis kedangkalan tetap akan mencalarkan kewibawaan seseorang yang dianggap dan dihormati sebagai seorang intelektual.

Jelas bahawa naratif separuh masak, tidak objektif dan sarat emosi seperti ini pastinya tidak akan menyumbang kepada masa depan negara yang lebih baik seperti yang diharapkannya dan dijadikan premis kepada pandangan serong beliau terhadap Pas, khasnya Presiden Pas.

Datuk Seri Takiyuddin Hassan ialah Setiausaha Agung Pas

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!