Anwar, Xanana bincang kemasukan Timor-Leste sebagai anggota tetap ASEAN
VIENTIANE - Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya Perdana Menteri Timor-Leste Xanana Gusmao.
Antara perkara dibincangkan dalam pertemuan di Pusat Persidangan Kebangsaan (NCC) itu mengenai permohonan keanggotaan penuh Timor-Leste dalam ASEAN.
Kedua-dua pemimpin itu mengadakan perbincangan lebih kurang 15 minit ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di NCC.
Timor-Leste ketika ini masih menunggu keputusan konsensus negara-negara ASEAN untuk diterima sebagai anggota penuh badan serantau itu.
Negara itu juga diiktiraf sebagai pemerhati ASEAN dan menyertai Forum Serantau ASEAN pada 2005 sebelum secara rasmi memohon keahlian pada 4 Mac 2011.
Pada 2022, pemimpin ASEAN yang berhimpun di Sidang Kemuncak ASEAN ke-40 dan ke-41 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Phnom Penh, Kemboja pada dasarnya bersetuju Timor-Leste menjadi anggota ke-11 kumpulan itu.
Timor-Leste juga diberikan status pemerhati bagi mengambil bahagian dalam semua Mesyuarat ASEAN termasuk sesi pleno. - Bernama
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!