Malaysia, Singapura capai kesepakatan, kemajuan beberapa isu tertunggak - PM

Anwar. Foto Bernama
Anwar. Foto Bernama
A
A
A
VIENTIANE - Malaysia dan Singapura mencapai kesepakatan dan kemajuan berkaitan beberapa isu tertunggak antara kedua-dua negara.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, isu-isu itu dibincangkan dalam pertemuan dua hala dengan rakan sejawatnya dari Singapura Lawrence Wong di luar Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan di sini pada Rabu.

Tanpa menyatakan isu tertunggak berkenaan, Anwar berkata, ia akan dibincangkan dengan lebih lanjut dalam sesi permukiman tahunan Malaysia-Singapura hujung tahun ini.

"Selama hampir 40 minit, saya dan PM Lawrence berbincang beberapa perkara terkait kepentingan kedua-dua negara, terutama meneroka kaedah terbaik bagi menyelesaikan isu berbangkit secara berkesan dan sepantas mungkin,” katanya dalam satu kenyataan.

Anwar berkata, selepas pertemuan empat mata itu, beliau dan Wong kemudiannya mengetuai mesyuarat dua hala bersama menteri-menteri dan delegasi kedua-dua negara.

Sebelum ini dilaporkan isu-isu tertunggak antara kedua-dua negara termasuk kawalan ruang udara, isu air dan sempadan maritim kedua-dua negara.

Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 dan Sidang Kemuncak Berkaitan dibuka secara rasmi hari ini hingga 11 Oktober.

Laos sebagai Pengerusi ASEAN 2024 akan menyerahkan jawatan pengerusi itu kepada Malaysia yang akan menjadi Pengerusi ASEAN bagi 2025.

Malaysia secara rasmi akan memegang jawatan Pengerusi ASEAN pada 1 Januari 2025. - Bernama
Artikel Berkaitan:

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!