Dilema nafkah untuk isteri bergaji besar

Tanggungjawab nafkah itu adalah wajib dan ia tidak akan gugur ke atas suami walaupun isterinya bekerja, waima si isteri itu kaya. Foto hiasan/123RF
Tanggungjawab nafkah itu adalah wajib dan ia tidak akan gugur ke atas suami walaupun isterinya bekerja, waima si isteri itu kaya. Foto hiasan/123RF
A
A
A

PERKAHWINAN adalah penyatuan dua jiwa lelaki dan wanita yang bermatlamat untuk menjaga pandangan, kehormatan diri dan supaya menjadi lebih bertakwa. Kedua-dua insan yang bergelar suami isteri mempunyai tanggungjawab masing-masing termasuk nafkah.

Isu nafkah dalam perkahwinan menjadi perhatian masyarakat di negara ini selepas perceraian pasangan selebriti, Nur Fazura dan Fattah Amin.

Dakwa pelakon berusia 41 tahun itu, suaminya sudah dua tahun mengabaikan tanggungjawab memberi nafkah buat beliau dan anak.

Bagaimanapun, ia disangkal Fattah dan mendakwa memiliki bukti transaksi perbankan yang dibayar ke akaun Fazura.

Katanya, tanggungjawab itu sudah dilangsaikan namun barang kali jumlah diberikan dirasakan tidak mencukupi oleh pelakon wanita itu.

Mari kita kembali merungkai prinsip asas Islam berkenaan nafkah yang telah menetapkan bahawa kaum lelaki diberi tugas mencari nafkah untuk keluarga kerana memiliki beberapa kelebihan berbanding kaum wanita.

Tanggungjawab nafkah itu adalah wajib dan ia tidak akan gugur ke atas suami walaupun isterinya bekerja, waima si isteri itu kaya.

Nafkah dari segi bahasa ialah mengeluarkan pembiayaan atau belanja terhadap ahli keluarganya, manakala dari segi syarak ialah makanan, pakaian, tempat tinggal dan selainnya.

Artikel Berkaitan:

Penulis memetik dapatan daripada Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, majoriti ulama menggariskan nafkah yang wajib diberi oleh suami kepada isteri ialah makanan, barangan keperluan dapur, pakaian, tempat tinggal, alat untuk membersihkan diri, barangan rumah dan pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu (bagi suami yang berkemampuan sahaja).

Selain dalam bentuk material, suami boleh menukar nafkah tersebut dengan memberi wang kepada isteri untuk membeli sendiri nafkah keperluannya.

Acap kali isu ini kerap menjadi dilema wanita berkerjaya atau yang memiliki pendapatan lebih tinggi daripada suami.

Malah, lebih serius lagi ia boleh mencetuskan perdebatan, punca rumah tangga berantakan dan terjadinya penceraian.

Apatah lagi jika si isteri memegang jawatan tinggi dan merupakan ketua kepada suami di dalam sesebuah organisasi.

Perlu difahami bahawa Islam telah menetapkan kemampuan suami dan kadar yang sepatutnya diberikan kepada isteri di bawah tanggungannya.

Bagaimanapun, sesetengah individu tidak memahami dan meminta sesuatu di luar kemampuan suami.

Menurut artikel lain dikeluarkan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, suami bertanggungjawab untuk memberi nafkah kepada isteri dan keluarga mengikut kadar kemampuannya sahaja.

Justeru, isteri tidak seharusnya menuntut sesuatu di luar kemampuan suami, sekiranya hak-hak nafkah yang diwajibkan seperti di atas telah ditunaikan.

Malah, kekayaan isteri juga tidak bermakna mereka terlepas daripada menunaikan hak, tanggungjawab dan menghormati suami.

Penulis ingin berkongsi hadis yang menggambarkan betapa tingginya kedudukan suami dalam rumah tangga.

“Jika aku boleh memerintahkan seseorang itu untuk sujud kepada seseorang, maka aku memerintahkan isteri untuk sujud pada suaminya.” (Hadis riwayat At-Tirmizi).

Perbuatan sujud dalam Islam lazimya dilakukan oleh manusia sebagai hamba kepada Maha Pencipta iaitu Al-Khaliq.

Ia jelas menunjukkan ketinggian suami dalam hierarki rumah tangga dan betapa seorang isteri wajib mematuhi, menunaikan tanggungjawab, menghormati dan mentaatinya kecuali perkara-perkara mungkar.

Syariat Islam menetapkan supaya semua pihak perlu menghormati dan menyempurnakan hak kepada pasangan serta melaksanakan tanggungjawab demi kebahagiaan keluarga.

Dalam perihal nafkah dan tanggungjawab ini, harapnya jangan ada mana-mana pihak mengambil kesempatan atau lepas tangan.

Ibarat menarik rambut di dalam tepung, rambut jangan putus, tepung jangan berserak. Semoga apa yang terjadi menjadi pengajaran.

* Azma Mohd Lazim ialah wartawan SinarPlus

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!