Israel tak serik, berangan mahu serang balas Iran

Dek kegilaan rejim Zionis mahu berperang dengan negara lain, kedua-dua seteru lama itu kini terjerumus dalam konflik terbuka. Foto Agensi
Dek kegilaan rejim Zionis mahu berperang dengan negara lain, kedua-dua seteru lama itu kini terjerumus dalam konflik terbuka. Foto Agensi
A
A
A

SELAMA bertahun-tahun Iran dan Israel cuba menghindari konflik secara langsung dan hanya ‘bertempur’ dalam perang bayangan melibatkan tindakan sabotaj dan pembunuhan secara rahsia.

Tetapi, dek kegilaan rejim Zionis mahu berperang dengan negara lain, kedua-dua seteru lama itu kini terjerumus dalam konflik terbuka.

Ia setelah Pasukan Pertahanan Israel (IDF) melakukan kempen pencerobohan di selatan Lubnan dan pelancaran Operasi Janji Benar 2.0 oleh Teheran dalam tempoh kurang enam bulan.

Tel Aviv semakin berani mengancam mahu menyerang balas Iran yang memiliki sejumlah sasaran sensitif termasuk kemudahan pengeluaran minyak, pangkalan tentera dan kompleks nuklear.

Terdapat beberapa senario yang mungkin berlaku di bawah pelan operasi dan taktikal IDF itu.

Sebagai contoh, serangan ke atas loji minyak berupaya menjejaskan ekonomi Teheran yang sememangnya lemah dan memberi impak kepada pasaran minyak global.

Ini kerana negara itu menghasilkan kira-kira tiga juta tong minyak sehari atau bersamaan tiga peratus bekalan dunia dengan pelanggan terbesarnya ialah China.

Jika kejutan bekalan bahan api itu merebak ke negara Teluk, ia berisiko mengakibatkan lonjakan harga petrol, bahan api dan produk lain yang dihasilkan daripada petroleum seperti plastik, bahan kimia dan baja.

Artikel Berkaitan:

Ia boleh mengancam banyak sektor ekonomi dengan risiko kemelesetan dan memberi kesan ketara terutamanya negara-negara miskin di Afrika yang bergantung kepada minyak import.

Selain itu, Israel melihat program nuklear Iran sebagai ancaman utama berikutan ia semakin pesat membangun dan berupaya menghasilkan senjata nuklear.

Tetapi, serangan ke atas kemudahan tersebut sukar untuk dilaksanakan tanpa bantuan sekutu kuatnya, Amerika Syarikat (AS).

Menurut badan pemikir, Center for Strategic and International Studies yang berpusat di Washington, Israel mempunyai dua pilihan jika ia benar-benar terdesak untuk menyerang balas Teheran iaitu menggunakan misil balistik jarak sederhana, Jericho 2 yang boleh menjangkau sasaran kira-kira 3,218 kilometer (km) dan peluru berpandu jarak pertengahan, Jericho 3 yang boleh mencapai sasaran sejauh lebih 6,437km.

Namun, sejak minggu lalu, rejim Zionis dan Iran saling ‘berbalas amaran’, komuniti antarabangsa pula menanti penuh debar episod baharu perang lebih dahsyat di Asia Barat.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!