SUV imam Nurul Kamal elak haiwan sebelum terbabas

SUV dipandu imam Nurul Kamal terbabas selepas dipercayai mengelak haiwan di Kilometer 211.8, Lebuhraya WCE arah utara dekat Sitiawan pada Selasa.
SUV dipandu imam Nurul Kamal terbabas selepas dipercayai mengelak haiwan di Kilometer 211.8, Lebuhraya WCE arah utara dekat Sitiawan pada Selasa.
A
A
A

MANJUNG - Kenderaan dipandu imam masjid, Nurul Kamal Zulkarnain, 37, yang maut dalam kemalangan di Lebuhraya Pesisir Pantai Barat (WCE) dekat Sitiawan pada Selasa cuba mengelak haiwan sebelum terbabas.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal dijalankan mendapati, haiwan dipercayai burung helang berada di atas jalan raya semasa mangsa melalui kawasan tersebut.

"Kenderaan itu cuba mengelak menyebabkan ia terbabas ke bahu jalan sebelah kiri sebelum melambung masuk ke kawasan ladang sawit.

"Akibat kemalangan ini, mangsa tersepit di bahagian tempat duduk pemandu dan berjaya dikeluarkan anggota bomba sebelum disahkan meninggal dunia di tempat kejadian," katanya dalam kenyataan di sini pada Rabu.

Beliau berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kes itu diminta tampil menghubungi Pegawai Penyiasat kes, Inspektor Siti Syakilla Azmira Abd Aziz di talian 019-8804450 atau 05-6899072.

Dalam kejadian sekitar jam 4.30 petang itu, Allahyarham yang bertugas sebagai imam Masjid As Siddiq di Taman Iskandar Perdana dekat Seri Iskandar maut selepas kenderaan utiliti sukan (SUV) dipandunya terbabas dan terbalik ke kawasan ladang sawit di Kilometer 211.8 lebuh raya.

Kejadian berlaku ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas melawat isterinya yang melahirkan cahaya mata ketiga mereka di Hospital Seri Manjung.

Artikel Berkaitan:

Allahyarham yang juga merupakan guru takmir di Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Daerah Perak Tengah meninggalkan isteri, Nur Firdaus Salwa Zamrin, 30, dan tiga cahaya mata berusia empat tahun (perempuan), dua tahun (lelaki) dan seorang yang baru dilahirkan Isnin lalu.

Sebelum kejadian, Allahyarham sempat mencium, menimang dan membisikkan bacaan iqamat di telinga bayi perempuannya itu sebelum bergegas pulang kerana perlu menghadiri kuliah Maghrib.

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!