LBS Bina ceburi sektor tenaga boleh diperbaharui
PEMAJU hartanah, LBS Bina Group Berhad (LBS Bina) menganugerahkan kontrak Kejuruteraan, Pemerolehan, Pembinaan, dan Pentauliahan (EPCC) bernilai RM104 juta kepada pakar tenaga bersih serantau, Solarvest Holdings Berhad (Solarvest) untuk membina projek ladang solar di Negeri Sembilan.
Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS Bina, Tan Sri Lim Hock San berkata, ladang solar berkapasiti 43 megawatt peak (MWp) itu akan dibina di Senawang dan dijangka siap menjelang akhir tahun 2025.
"Kami sentiasa dedikasi terhadap kelestarian dan penganugerahan kontrak kepada Solarvest melalui anak syarikatnya, Atlantic Blue Sdn Bhd, diharapkan projek tersebut dapat disiapkan mengikut jadual dan bajet.
"Kepakaran mereka diyakini mampu meningkatkan kredibiliti projek solar dan mewujudkan persekitaran kolaboratif dalam mencipta penyelesaian inovatif," katanya menerusi kenyataan pada Khamis.
Sebagai rekod, majlis menandatangani penganugerahan kontrak tersebut disaksikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof ketika Pameran dan Persidangan Antarabangsa Teknologi Hijau dan Produk Eko Malaysia (IGEM), baru-baru ini.
Dalam pada itu Hock San menjelaskan, ladang solar milik Suria Hijauan Sdn Bhd itu merupakan konsortium yang terdiri daripada beberapa syarikat iaitu Setara Armada Sdn Bhd, MWG Solar Energy Sdn Bhd dan Ocean Solar Energy Sdn Bhd.
Menurutnya, ladang tersebut dijangka dapat menjana kira-kira 53,000 MWh tenaga bersih setiap tahun, sekali gus mengurangkan kira-kira 35,000 tan pelepasan karbon dioksida.
"Ladang solar ini juga dijangka akan menyumbang sekitar 53,000 Sijil Tenaga Boleh Diperbaharui (RECs) kepada pasaran dan membantu pengguna korporat mencapai matlamat kelestarian mereka.
"Projek ini menandakan kemasukan strategik LBS Bina dalam bidang sektor tenaga boleh diperbaharui di bawah Program Tenaga Hijau Korporat (CGPP) selain mewujudkan aliran pendapatan baharu yang berulang setelah ladang solar beroperasi," ujarnya.
Sementara itu Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Solarvest, Davis Chong Chun Shiong berkata, CGPP menawarkan platform bernilai tinggi bagi pengeluar tenaga bebas seperti LBS Bina.
"Projek ini menonjolkan keupayaan kami untuk melaksanakan projek solar yang kompleks walaupun dalam keadaan mencabar seperti landskap berbukit di kawasan tapak.
"Dengan pendekatan inovatif dan perancangan projek yang terperinci, kami yakin kerja tanah asas sudah disiapkan untuk diteruskan dengan fasa pembinaan seterusnya," katanya.
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!